SHAH ALAM - Kepentingan Undi 18 dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan berlangsung pada 12 Mac nanti tidak boleh disangkal kerana ia memberi hak mutlak dan kuasa memilih kepada golongan ini.
Ketua Armada Bahagian Parit Sulong, KD Hussin Mohd Yunus berkata, PRN Johor ini adalah penting untuk melihat sejauh mana penilaian golongan muda dalam menentukan nasib mereka.
"Ia juga akan menggalakkan lebih ramai lagi penglibatan anak muda untuk memikirkan maslahat negara dan memastikan kepentingan mereka terus dibela.
"Adakah parti yang mereka pilih ini akan memperjuangkan hak-hak mereka kerana kita perlu sedar mereka akan mewarisi negara tercinta ini.
"Ini merupakan suatu kesempatan yang besar bagi anak muda untuk turut bersama dalam isu-isu yang menjadi perhatian mereka dan di sinilah perlunya peranan Perikatan Nasional (PN) memperlihatkan kepada mereka bagaimana kami menyelesaikan isu-isu anak muda," katanya selaku panelis dalam program Berani Semuka bertajuk 'PRN Johor: Undi 18 Jadi Penentu Kerajaan' di Karangkraf pada Isnin.
Program yang dikendalikan Dr Noor Nirwandy Mat Noordin ini turut menampilkan Ketua Pemuda UMNO Pasir Gudang, Noor Azleen Ambros sebagai panelis dan disiarkan di semua platform Sinar Harian.
Dalam pada itu, KD Hussin berpendapat, masalah utama yang berlaku dalam negara ini adalah tentang sesebuah parti politik itu perlu bersih dan tidak mengamalkan rasuah.
Ini kerana katanya, elemen rasuah boleh menjatuhkan kredibiliti negara.
Disebabkan itu, beliau menggesa agar golongan muda memilih parti yang mampu menjanjikan sistem dan struktur yang bersih.
"Untuk memastikan kelangsungan dan 'survival' mereka dalam jangka masa panjang," jelasnya.
KD Hussin juga meminta agar golongan muda khususnya yang akan mengundi dalam PRN Johor nanti mempertimbangkan tentang perkara ini.