Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan seseorang individu mudah tertipu dan menjadi sasaran untuk scammer mengambil kesempatan.
Pakar Kriminologi dari Universiti Sains Malaysia, Dr Geshina Ayu Mat saat berkata, kumpulan atau individu scammer menyasarkan mangsa mengikut kriteria sasaran yang dianggap mudah tertarik atau tertipu dengan ciri keuntungan yang banyak dalam masa yang singkat.
"Kumpulan sasaran mangsa mudah terjerat dengan umpan scammer atas beberapa sebab termasuk kuasa dan legitimasi yang jelas dipamerkan, daya tarikan produk, servis, atau pulangan, peras ugut, desakan, tekanan, janji manis, dan mempunyai perhubungan (persaudaraan, persahabatan, kenalan) dengan penipu tersebut.
"Selain itu, kajian juga menunjukkan mangsa mudah ditipu mempunyai sifat keterbukaan, kawalan diri yang rendah, mencari jalan mudah atau pintas dan mempunyai tahap pendidikan yang rendah,” katanya.
Menurutnya, kebarangkalian untuk jenayah scammer ini terus berleluasa juga tinggi apabila kebanyakannya berlaku dalam talian seperti Facebook dan media sosial lain.
Katanya, jenayah penipuan dalam talian merupakan aktiviti penggunaan sistem berkomputer atau menggunakan akses sistem berkomputer
pangkalan data secara haram untuk tujuan jenayah seperti mencuri atau manipulasi data, sabatoj dan penipuan.
"Di alam maya golongan golongan sasaran lebih besar, scam boleh dilakukan dalam masa yang serentak atau singkat.
"Malah, risiko dikesan, ditangkap, dan dibawa ke muka pengadilan dianggap berbaloi oleh penjenayah apabila dibandingkan dengan potensi dapatan daripada aktiviti jenayah," katanya.
Lebih membimbangkan, jelas Geshina Ayu, kajian Interpol pada 2015 mendedahkan makin ramai individu mengeksplotasikan kelajuan, kemudahan, akses, dan kemampuan merahsiakan identiti internet untuk melakukan pelbagai jenis jenayah merentasi sempadan, masa, dan kumpulan sasaran.
"Terdapat beberapa bentuk jenayah penipuan dalam talian, di antaranya penipuan perbankan, sindiket pinjaman wang, penipuan transaksi jual beli, love scam dan penipuan insuran dan tanah," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Lima modus operandi scammer popular!
ARTIKEL BERKAITAN: Mudahnya masuk perangkap scammer