Cubaan seludup masuk warga Indonesia gagal

Iklan
Seorang tekong bersama tiga PATI warga Indonesia yang ditahan Maritim Malaysia ketika cuba menyeludup masuk ke negara ini melalui perairan Tanjung Bidara, malam semalam.

ALOR GAJAH - Seorang tekong bersama tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia berjaya ditahan pasukan Maritim Malaysia Melaka/Negeri Sembilan (Maritim Malaysia) ketika cuba menyeludup masuk ke negara ini di perairan Tanjung Bidara, di sini, lewat malam semalam.

Pengarah Maritim Malaysia Melaka/Negeri Sembilan, Kepten Maritim Amran Daud berkata, penahanan dilakukan kira-kira jam 11 malam ketika kesemua mereka cuba menyeludup masuk ke negara ini melalui jalan tidak diwartakan dengan menggunakan sebuah bot gentian kaca tanpa nombor pendaftaran.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kesemua lelaki ditahan berumur antara 20 hingga 38 tahun dalam satu operasi pemantauan dengan dibantu Sistem Pengawasan Maritim (Laut) SWASLA untuk mengesan pencerobohan dan penyeludupan di perairan Selat Melaka.

"Tangkapan ini merupakan hasil operasi khas selepas kami menerima maklumat terdapatnya pergerakan sebuah bot yang mencurigakan dari perairan Pulau Rupat, Indonesia ke perairan Tanjung Bidara, Melaka.

Iklan

"Bot pancung gentian kaca terbabit menggunakan enjin sangkut 85 kuasa kuda dan kami berjaya memintas serta menahan mereka di posisi lebih kurang 2.3 batu nautika dari barat laut pantai Tanjung Bidara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Amran berkata, kesemua PATI yang ditahan akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

Iklan

Menurutnya, pada tahun ini Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan telah berjaya membuat tangkapan sebanyak 11 kes di bawah Akta Imigresen dan ATIPSOM.

"Kami akan sentiasa meningkatkan operasi penguatkuasaan bagi membenteras dan menyekat aktiviti jenayah rentas sempadan di perairan Melaka dan Negeri Sembilan.

"Orang ramai juga diminta menyalurkan maklumat jenayah dan kecemasan di laut di talian Pusat Operasi Maritim 06-3876730 dan 999 yang beroperasi 24 jam," katanya.