KUALA LUMPUR - Lebih 30 helai koleksi peribadi batik hasil sentuhan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah akan dipamerkan pada Hari Kraf Kebangsaan 2022 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur bermula 23 Februari hingga 7 Mac ini.
Pameran kali kedua Raja Permaisuri itu bertemakan Sentuhan Permaisuri: Explorasi dan Eksperimentasi Batik Inderapura akan mengetengahkan batik cantingan tangan dan cetakan blok oleh Seri Paduka menggunakan fabrik krep, sutera dan linen.
Pada sesi previu koleksi batik peribadi Tunku Azizah di Institut Kraftangan Negara (IKN) baru-baru ini, Pengarah Kanan IKN Abdul Halim Ali berkata, keunikan koleksi itu adalah reka corak dan teknik batik tersebut dihasilkan secara eksperimental dan spontan Raja Permaisuri ketika mencanting.
Jelasnya, koleksi itu mempamerkan pelbagai teknik terap (batik blok), melukis dan mewarna batik yang digunakan Tunku Hajah Azizah berdasarkan pengalaman Seri Paduka termasuk beberapa teknik baharu boleh diangkat sebagai identiti batik Pahang.
"Antaranya ialah teknik sapuan warna secara berlapis dengan pola corak beragi dan berjalur seperti yang terdapat pada kain Tenun Pahang Diraja selain teknik sapuan warna berlapis yang diolah secara vertikal, horizontal dan bersilang menghasilkan kesan tona warna berbeza.
"Gabungan teknik membatik yang berbeza secara eksperimental dan spontan inilah, Tunku Azizah menghasilkan satu identiti batik unik untuk negeri Pahang atau dikenali dengan nama Batik Inderapura,” katanya.Beliau berkata, bagi koleksi itu, kira-kira 14 batik dibuat secara berpasangan untuk dijadikan pakaian lelaki dan wanita, tiga bagi kemeja lelaki dan tujuh kain pasang wanita selain terdapat 10 kain skaf yang dilukis Seri Paduka ketika berada di London, United Kingdom turut dipamerkan.
Katanya lagi, selain koleksi batik Seri Paduka Baginda, rakaman video Tunku Azizah sepanjang proses menyiapkan kain batik itu turut akan ditayangkan kepada pengunjung.
Sementara itu, usahawan batik Yus Faizal Rahim bertindak sebagai pembantu Tunku Azizah ketika menghasilkan batik itu berkata Seri Paduka Baginda amat teliti dan tekun dalam setiap proses pembuatan koleksi tersebut malah Raja Permaisuri akan berada seharian di bengkel batik di IKN untuk menyiapkan karya itu.
Beliau yang juga bekas graduan IKN berkata, Seri Paduka Baginda menyiapkan setiap bahagian karya itu secara sendiri tanpa sebarang bantuan termasuk dalam pemilihan dan bancuhan warna serta reka corak batik.
"Tuanku menyiapkan batik secara berterusan di setiap bahagian fabrik dan melapiskan warna satu demi satu pada batik sehingga berpuas hati dengan hasilnya. Sementara menunggu helaian batik yang diwarnakan menjadi kering, Seri Paduka Baginda akan menyiapkan helaian lain pula."Tuanku juga akan pastikan tiada pewarna yang digunakan itu dibazirkan malah menggunakannya semula sehingga habis,” katanya.
Pameran Hari Kraf Kebangsaan 2022 dibuka setiap hari bermula esok, 10 pagi hingga 10 malam dan kemasukan adalah percuma.
Selain pameran, pelbagai aktiviti lain turut dilaksanakan termasuk seminar dan jualan produk daripada puluhan pengusaha dan usahawan kraf tangan tempatan. - Bernama