GERGASI liga Inggeris, Liverpool masih mengintai peluang untuk menurunkan penyerang Roberto Firmino dan Diogo Jota menjelang perlawanan akhir Piala Liga menentang Chelsea di Stadium Wembley awal pagi Isnin.
Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp berkata, sememangnya khidmat dua peledak sensasi itu penting bagi berdepan benteng pertahanan The Blues berdasarkan situasi semasa.
"Biarpun begitu masih terlalu awal untuk dimaklumkan status kedua-dua pemain ini dalam masa terdekat.
"Kami perlu melihat secara keseluruhan bagaimana perkembangan terkini isu, namun yang pasti kami akan berusaha segala-galanya bagi menampilkan mereka," ujar Klopp.
Untuk rekod, Firmino dan Jota masing-masing mengalami kecederaan otot dan buku lali semasa membantu The Reds mencipta kemenangan luar biasa 2-0 ke atas kuasa bola sepak Serie A, Inter Milan dalam pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara minggu lalu.
Kecederaan melanda duo kelahiran Brazil dan Portugal itu menyaksikan kedua-duanya terlepas peluang membantu anak buah Klopp mencipta kebangkitan ketinggalan satu gol untuk kemenangan 3-1 ke atas Norwich City dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Anfield baru-baru ini.
Liverpool yang dalam misi mencabar kejuaraan liga utama musim ini akan melayan kunjungan Leeds United di Stadium Anfield awal pagi Khamis.
LIGA PERDANA INGGERIS
KHAMIS (24 FEBRUARI)
Burnley lwn Tottenham Hotspur, 3.30 pagi
Watford lwn Crystal Palace, 3.30 pagi
Liverpool lwn Leeds United, 3.45 pagi
JUMAAT (25 FEBRUARI)
Arsenal lwn Wolves, 3.45 pagi
*Tarikh, venue, masa tertakluk pindaan