PSM bukan sekadar bertanding pecah undi

Iklan
Arulchelvan (kanan) menampilkan Arangkannal (dua dari kanan) pada majlis berkenaan pada Isnin.

ISKANDAR PUTERI - Parti Sosialis Malaysia (PSM) menolak untuk dilabelkan parti yang bertanding hanya untuk memecah undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Timbalan Pengerusinya, S Arulchelvan berkata, sebaliknya parti mempunyai iltizam yang kuat serta mampu memberikan saingan dengan membawa isu-isu pekerja kolar biru yang sering dipinggirkan.

Iklan
Iklan

"PSM bukan sekadar parti yang menunggu untuk menghadapi pilihan raya sahaja, parti kita telah lama berkhidmat dan mempunyai kelebihan yang ingin dibawakan. Kita membawa suara rakyat tidak berkemampuan.

"Pekerja ladang, pemandu, petani dan pekerja pembersihan. Ini suara-suara rakyat yang tidak dipandang. Kita merupakan parti yang dekat dengan golongan ini.

Iklan

"PSM juga merupakan parti yang mempunyai pendirian, kita juga bukan parti yang mengamalkan perkauman, walaupun kita tahu PRN ini bukan pertandingan yang senang, kita tetap akan berjuang dengan pendirian yang kami ingin bawa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pengumuman Calon PSM pada PRN Johor di bilik gerakan N49 PSM di Kangkar Pulai, di sini, pada Isnin.

Iklan

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan PSM menjadi parti politik terbaharu menyertai PRN Johor dengan mempertaruhkan calon, R Arangkannal, 46 sebagai calon tunggal yang akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar.

Pengumuman itu sekali gus menyaksikan PSM akan menyertai Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) untuk merebut kerusi yang kini disandang Dzulkefly Ahmad daripada PH-Parti Amanah Negara (Amanah).

Dalam pada itu, Arulchelvan berkata, parti juga akan menggunakan segala pengalaman selama lebih 15 tahun ahli aktivis mereka berkhidmat di Johor untuk memberikan saingan kuat kepada parti-parti pakatan besar yang bertanding.

"Kita sudah bekerja di Johor dan ini masanya untuk kita keluar buat kali pertama bertanding di arena (PRN) Johor. Kita mahu menolak politik elitis yang dibawa parti-parti besar sebelum ini dan menjadi kuasa baru memperjuangkan hak-hak rakyat marhaen.

"Kita memilih Kota Iskandar kerana ini adalah cawangan pertama kami buka di Johor, jadi kita yakin kita mempunyai sokongan di sini,” katanya.