KUALA LANGAT - Polis giat buru individu terlibat kes bakar sebuah jengkaut di tapak projek pembinaan pencawang di Jalan Ubi Kampung Seri Chodoi di sini, pada 14 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, pihaknya yang tiba di lokasi selepas menerima panggilan pada jam 2.09 petang mendapati jengkaut milik syarikat kontraktor itu terbakar.
Iklan
Iklan
Katanya, susulan itu, tiga lelaki berusia lingkungan 25 hingga 30 tahun ditahan untuk membantu siasatan.
"Bagaimanapun, mereka kemudian dibebaskan dengan jaminan polis setelah direkod keterangan.
"Siasatan awal tiga individu ini juga tiada kaitan dengan kumpulan kongsi gelap. Punca kejadian belum dikenal pasti dan polis sedang mengesan pihak-pihak yang terlibat dalam kejadian ini," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Tambahnya, siasatan masih diteruskan bagi mengesan suspek yang melakukan jenayah ini.
Tegas beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan.