KUANTAN - Operasi mengesan nelayan hilang dalam kejadian bot terbalik di sini Sabtu lalu diteruskan dengan kawasan pencarian tertumpu di sepanjang pesisir pantai dari Batu Hitam sehingga Kuala Kuantan.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata, dalam operasi hari keempat pada Selasa, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggerakkan aset Bot Kilat 49 bersama lima anggota untuk operasi pencarian.
Menurutnya, operasi turut melibatkan Pasukan Hadapan Carilamat (PHC) terdiri daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Pasukan Polis Marin (PPM) dan polis.
"Operasi hari ini (Selasa) turut dibantu lima bot milik nelayan tempatan.
"Bot nelayan tempatan membuat pencarian di sekitar lokasi kejadian bermula 7 pagi dengan kawasan pencarian pencarian seluas 42 batu nautika," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.20 petang itu, mangsa, Fadzely Mohamed, 40, dikhuatiri lemas manakala rakannya, Abdul Mutalib Abdul Rahman,38, berjaya diselamatkan.