SEKINCHAN - Sebanyak 20 peratus pesawah di negara ini sudah menyertai SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) bagi meningkatkan pengeluaran dan produktiviti hasil tanaman padi pada masa depan.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, jumlah itu dijangka meningkat dari semasa ke semasa berikutan keberkesanan skim yang dilaksana kerajaan di beberapa negeri seperti di Selangor dan Perak sejak dua tahun lalu.
Menurutnya, pelaksanaan itu terbukti berjaya meningkatkan hasil pengeluaran padi dan menambah pendapatan pesawah.
"Kalau sebelum ini satu hektar tanaman secara manual pesawah hanya mampu memperoleh purata tiga tan metrik sahaja, tetapi dengan penglibatan mereka dalam SMART SBB ini ada dalam kalangan mereka, contohnya di Kedah memperoleh 7.9 tan metrik.
"Malah saya yakin jika ia dilakukan dalam tempoh tiga musim lagi, pesawah mampu meningkatkan hasil pengeluaran sehingga 10 tan metrik," katanya pada sidang akhbar selepas lawatan kerja Program SMART SBB di Tali Air 3 Sekinchan di sini, pada Selasa.
Nik Muhammad Zawawi berkata, pelaksanaan SMART SBB itu juga diyakini dapat mengurangkan kebergantungan negara pada beras import.
"Usaha ini diharap dapat mengatasi isu keselamatan makanan dengan mengurangkan jumlah beras import pada kadar 30 peratus.
"Menerusi SMART SBB ini kita pertingkatkan lagi pengeluaran beras negara menerusi sasaran purata hasil pengeluaran 10 tan metrik semusim," ujarnya.
Beliau turut berbangga dengan usaha disumbangkan agensi kerajaan dan pihak yang terlibat dalam pelaksanaan skim tersebut.
Jelasnya, meskipun SMART SBB masih baharu, namun ia telah menunjukkan hasil berganda berbanding penanaman padi secara manual sebelum ini.
Tegas beliau, pesawah juga diingatkan tidak mendengar persepsi buruk yang cuba ditimbulkan oleh pihak tertentu kononnya kerajaan ingin mengambil alih tanah sawah dan sebagainya bagi melaksanakan program SMART SBB.
"Jangan dengar khabar angin berlegar-legar di tepi jalan dan warung kopi kerana kita ada kementerian, agensi dan jabatan terlibat dalam aktiviti ini.
"Tidak timbul soal kerajaan ingin ambil alih tanah, guna geran untuk kewangan dan sebagainya. Ini semua fitnah jahat dan cerita dongeng semata-mata," ujarnya.
Katanya, kerajaan juga ingin membuang stigma bahawa pekerjaan sebagai pesawah dianggap kotor dan memenatkan.
"Sekarang tidak ada lagi stigma seperti itu kerana pada masa ini teknologi amat diperlukan seperti penggunaan dron yang boleh berkerja berpuluh hektar dalam masa sehari," jelasnya.