PRN Johor: MIC hasrat tanding empat kerusi DUN

Iklan
Saravanan dan Noh (tengah) merakam kenangan selepas menyerahkan watikah pelantikan dan replika cek kepada penerima dalam Majlis Pelancaran Kempen Mencarum Perkeso Usahawan Tekun di Hotel Renaissance, Johor Bahru, pada Isnin.

JOHOR BAHRU - MIC berhasrat untuk kekal bertanding di empat kerusi tradisi mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan berkata, hasrat itu akan disampaikan kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad dalam satu pertemuan pada Rabu.

Iklan
Iklan

"Perjumpaan ini nanti untuk memuktamadkan pembahagian kerusi. Presiden (MIC) telah sampaikan (maklumkan) untuk kita kekal bertanding di kerusi yang kita tandingi sebelum ini.

"Kita di peringkat BN memang mengamalkan perkongsian kuasa dan kita akan membuat pilihan terbaik untuk parti dan negara," katanya.

Iklan

Menteri Sumber Manusia itu berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Kempen Mencarum Usahawan Tekun di Hotel Renaissance, di sini, pada Isnin.

Turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.

Iklan

Mengenai permintaan MIC Bahagian Kulai yang mahu bertanding di DUN Bukit Batu, beliau berkata, sudah menjadi kebiasaan menjelang pilihan raya akan ada pihak menuntut kerusi.

Menurut Saravanan, mana-mana pihak boleh memohon untuk bertanding di kerusi yang diingini tetapi pada akhirnya nanti pucuk pimpinan akan memutuskan perkara tersebut.

"Ini masa pilihan raya semua orang nak jadi calon, orang akan minta sana sini, lepas itu akhirnya kita akan akur keputusan pucuk pimpinan BN. Itulah kelebihan BN.

"Cuma kita nyatakan pendirian kita, kita tidak menghalang pucuk pimpinan BN untuk memberi kerusi kepada 'Friends of BN', asal jangan ambil kerusi kita dan orang lain, itu akan mencalarkan imej kita," katanya.

Pada 30 Januari lalu, Presiden Parti Makkal Sakti Malaysia (Makkal Sakti), Datuk Seri R S Thanenthiran dilaporkan berkata, pihaknya berharap akan diberikan peluang untuk bertanding dalam PRN Johor.

Jelasnya, ini kerana Makkal Sakti selaku Friends of BN sudah lama mahu bertanding pilihan raya selain atas faktor kesetiaan mereka terhadap BN sejak lebih 14 tahun lalu.