SHAH ALAM - Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) berpendapat bahawa mana-mana pilihan raya sama ada Pilihan Raya Umum (PRU) ataupun Pilihan Raya Negeri (PRN) perlulah dilaksanakan secara adil dan saksama.
Ketua Pegawai Eksekutif Ideas, Tricia Yeoh berkata, ini kerana berdasarkan kajian yang dilakukan ke atas PRU13 yang lalu, pihaknya mendapati sebahagiannya adalah bebas tetapi tidak adil.
Justeru, beliau berkata, buku yang dihasilkan oleh bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman dan pengamal media, Dr G Manimaran bertajuk ‘Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang & Tadbir’ adalah penting untuk dijadikan sebagai panduan kepada semua pihak, tidak kira sama ada pengundi, ahli politik, calon atau agensi yang terlibat dalam pengurusan pilihan raya.
"Pada saya ia penting kerana menyatakan secara terperinci apakah proses, hak-hak dan tanggungjawab serta kelayakan semua orang yang terlibat dalam proses pilihan raya.
"Ideas pada tahun 2013 telah membuat laporan ke atas PRU13 dan mendapati sebahagiannya adalah bebas tetapi tidak adil.
Jadi, secara asasnya, apa-apa pilihan raya memerlukan dasar yang bebas dan adil,” katanya.
Beliau berkata demikian pada siri Wacana Institut Kajian Etnik (KITA) bertajuk Resensi Buku: ‘Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Tadbir dan Menang’, yang bersiaran secara dalam talian, pada Selasa.
Mengulas lanjut, Tricia berkata, selain SPR, ada juga pihak lain yang mempunyai hak dan tanggungjawab untuk memastikan pilihan raya itu bebas dan adil, termasuklah pihak media.
"Kalau lihat pada PRU13 atau sebelumnya, liputan media sebenarnya tidak sama rata.
Di sini timbul satu persoalan mengenai pemilikan media.
"Mengapa kadangkala ada parti tertentu tidak mempunyai kesempatan untuk membeli iklan dalam akhbar tempatan.
Jadi liputan media mesti sama rata,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, amat penting menubuhkan satu Akta Pendanaan Politik bagi memastikan kes korupsi dalam arena politik tanah air dapat ditangani segera.
"Ada beberapa parti politik dilihat sangat bergantung terlalu banyak penggunaan wang berbanding parti-parti yang berskala kecil yang langsung tidak mempunyai pendanaan.
"Justeru, Akta Pendanaan Politik mestilah menjelaskan secara terperinci dan menyeluruh dari segi undang-undang. Apa yang dibenarkan dan apa yang tidak dibenarkan.
"Akhirnya kita dapat membina satu demokrasi berparlimen berasaskan pilihan raya yang bebas dan adil di mana semua parti yang bertanding, individu yang terlibat dalam proses pilihan raya mempunyai hak yang sama rata,” ujarnya.