SHAH ALAM - Pelancaran Ujian Pengiktirafan Penterjemahan Bahasa Cina-Bahasa Melayu (CATTI BC-BM) serta Penubuhan Jawatankuasa Pakar antara Malaysia dan China dilihat mampu memperkukuhkan lagi hubungan dan kerjasama antara kedua-dua negara.
Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim berkata, melalui ujian itu nanti akan memudahkan penguasaan Bahasa Mandarin dan juga Bahasa Melayu pada peringkat global.
Menurut beliau, langkah itu sesuai dengan rakyat berbilang bangsa di negara ini yang dilihat mampu membentuk perpaduan dan hubungan lebih erat dengan republik itu pada masa akan datang.
"Bahasa itu seharusnya digunakan oleh manusia tanpa mengira apa bangsa atau kaum demi meningkatkan ilmu.
"Dalam konteks ini kita harus berbangga kerana Malaysia dan China dapat meningkatkan produktiviti dalam hal berkaitan kedua-dua bahasa, menterjemahkan bahan-bahan yang boleh membina negara bangsa pada masa hadapan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Ujian Pengiktirafan Penterjemahan Bahasa Cina -Bahasa Melayu serta Penubuhan Jawatankuasa Pakar pada Selasa.
Majlis yang diadakan secara telesidang itu turut dihadiri oleh Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia, Ouyang Yujing; Timbalan Ketua Pengarah CICG, Yu Tao dan Timbalan Dekan Fakulti Bahasa dan Budaya Asia, Profesor Dr Tan Xiao.
Wakil Malaysia dihadiri oleh Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Profesor Datuk Seri Dr Awang Sariyan; Presiden Pusat Kebudayaan Han Malaysia, Datuk Goh Hin San; Presiden Xiamen University Malaysia (XMUM), Profesor Wang Ruifang dan Timbalan Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Malaysia China (MCCC), Tan In Fong.
Sementara itu, Ouyang Yujing berkata, ujian itu membolehkan kedua-dua negara mempelajari etnik dan budaya seluruh dunia.
"China dan Malaysia adalah negara kaya dengan budaya, kita mempunyai gen sama yang terbuka, inklusif dan boleh belajar antara satu sama lain,” katanya.
Menurut Yujing lagi, ujian ini adalah sangat penting untuk mendorong pemupukan bakat penterjemahan kedua-dua negara, memperkayakan pertukaran sosiobudaya, dan menggalakkan persefahaman antara rakyat kedua-dua negara.
Ujian Pengiktirafan Penterjemahan Bahasa Melayu-Cina dijangka akan dimulakan akhir tahun ini anjuran Persatuan Kebudayaan Han Malaysia dengan kerjasama Jabatan Komunikasi Antarabangsa China (CICG) dan CATTI.