Udang kering, ikan bilis Sabah bakal dieksport ke UAE

Iklan
Majlis pemeteraian MoU antara Nafas dengan Urbanex Gulf Corporate Services.

SHAH ALAM - Pengusaha ikan bilis dan udang kering di Sabah khususnya Sandakan dan Tawau dijangka memperoleh pertambahan pendapatan apabila kedua-duanya bakal menembusi pasaran Timur Tengah bermula dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bulan ini.

Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Datuk Sylvester Entri Muran berkata, perkembangan itu susulan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara pihaknya dengan Urbanex Gulf Corporate Services selaku syarikat pengurusan eksport (EMC).

Iklan
Iklan

Menurutnya, hasil laut tersebut mendapat permintaan memberangsangkan berdasarkan sampel yang diberikan kepada peniaga meskipun harga yang ditawarkan agak tinggi jika dibandingkan dengan negara jiran iaitu Thailand dan Indonesia.

"Ikan bilis dan udang kering dari Malaysia di sini dapat permintaan tinggi. Peniaga gembira dengan sampel kita walaupun harga tinggi tapi mereka puas hati kerana kualiti hasil kita dan sebab itu mereka tawarkan (untuk eksport) kepada Nafas," katanya pada Selasa.

Iklan

Sebagai permulaan, Entri menjelaskan, sebanyak 25 tan ikan bilis dan udang kering akan dieksport dengan anggaran jualan AS$40 sekilogram dan pihak Nafas kini dalam proses penyediaan dokumentasi.

Tambahnya, menerusi MoU itu juga, Nafas akan mengeksport halia dan kunyit ke UAE dengan menjadikan Dubai sebagai pintu masuk sebelum memperluas ke pasaran Timur Tengah serta Afrika Utara.

Iklan

"Sebanyak 50 tan halia dan kunyit dijangka mula dieksport bulan depan dan pihak Nafas kini sedang mengumpulkan tanaman itu daripada hampir sejuta ahli di seluruh negara.

"Setakat ini Nafas belum masuk pasaran Timur Tengah dan MoU ini sangat penting kepada kami untuk memperluaskan pasaran dan tentunya akan membantu ahli-ahli yang lain," ujarnya.

Nafas merupakan antara organisasi yang menyertai Minggu Pertanian Lestari di Expo 2020 Dubai yang bermula semalam sehingga Jumaat ini.

Minggu Pertanian Lestari di Pavilion Malaysia dihoskan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dengan Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) sebagai agensi pelaksana.