Dua kampus baharu Kolej Profesional Mara akan dibina di Sabah, Sarawak

Iklan
Mahdzir (dua dari kiri) menyampaikan penghargaan kepada Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Masjid Tanah, Melaka yang menerima pengiktirafan Anugerah Platinum Asia Pacific Accreditation And Certification (APACC) baru-baru ini.

SHAH ALAM - Majlis Amanah Rakyat (Mara) terus memperkasakan sektor pendidikan tingginya dengan pembinaan dua kampus baharu Kolej Profesional Mara di Beaufort, Sabah dan Kapit di Sarawak pada tahun ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Mara merancang untuk membangunkan dan memperkukuh sektor pendidikan dengan membina beberapa lagi institusi pendidikan di kawasan luar bandar yang strategik.

Iklan
Iklan

"Mara akan terus memperkasakan akses pendidikan berkualiti dalam meningkatkan modal insan berkemahiran masa hadapan bermula dari peringkat sekolah menengah hingga ke pengajian tinggi,” katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pembangunan Luar Bandar, KPLB, di kampus induk German-Malaysian Institute (GMI) pada Selasa.

Iklan

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, tujuh Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) turut akan dibina pada tahun ini yang melibatkan penambahan pengambilan pelajar seramai 4,350 orang.

"Antaranya membabitkan kawasan di Ranau, Sabah, Sarawak (Bintulu dan Lawas), Kelantan (Ketereh dan Tanah Merah), Kedah (Sik) serta Terengganu (Dungun),” jelasnya.

Iklan

"Selain itu, dua Pusat GiatMara di Limbang dan Batang Lupar di Sarawak juga akan dibina,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) akan terus diperkasakan dan ditambah baik berdasarkan permintaan industri dan set kemahiran baharu yang menitikberatkan tiga aspek utama iaitu penyelesaian masalah kompleks, reka bentuk serta pengaturcaraan teknologi.

Mara juga jelasnya, akan mewujudkan lima Industry Centre of Excellence (ICOE) bersama pemain industri bagi merealisasikan inisiatif tersebut.

"Mara akan turut melaksanakan transformasi dengan yang terbaharu menggabungkan elemen kemahiran dan hafazan al-Quran menerusi Program TVET-Tahfiz.

"Rasionalisasi TVET Mara juga dilaksanakan bagi memperkukuh laluan artikulasi pelajar menerusi program ini yang mana terdapat peluang untuk pelajar yang telah mengikuti program sijil di GiatMara dan Institut Kemahiran Mara (IKM) untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana dan ijazah kedoktoran (PhD) di UniKL.

"Inisiatif ini bagi mengelakkan pertindihan program yang sama dilaksanakan antara institusi pendidikan Mara (IPMA),” katanya.

Dalam majlis sama, Mahdzir turut menyampaikan penghargaan kepada Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Masjid Tanah, Melaka yang menerima pengiktirafan Anugerah Platinum Asia Pacific Accreditation And Certification (APACC) baru-baru ini.

Ia merupakan pengiktirafan peringkat antarabangsa yang pertama kali diterima oleh institusi TVET di bawah KPLB.