Perkasa B40 melalui intervensi strategik pertanian

Iklan
Gambar kecil: Abdul Latiff

MERSING - Kerajaan melalui Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) telah berkolaborasi bersama 13 universiti awam dan tiga agensi kerajaan negeri dalam membangunkan 28 projek inovasi komuniti di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, program guna pakai pendekatan model ‘quadruple helix’ itu dilaksanakan di 148 lokasi dengan peruntukan sebanyak RM67.5 juta.

Iklan
Iklan

Menurutnya, program itu bermatlamat untuk memperkasakan komuniti B40 Bumiputera melalui intervensi strategik pertanian dengan melibatkan teknologi dan inovasi, penyelesaian pemasaran serta jualan yang lestari melalui usaha sama antara kerajaan, akademia, swasta dan peserta.

"Seramai 1,270 penerima manfaat program telah berjaya memperoleh pendapatan tambahan isi rumah melebihi paras tangga kemiskinan semasa iaitu RM 2,208.

Iklan

"Walaupun Bumiputera merupakan kaum majoriti di negara ini iaitu pada kadar 69.4 peratus atau seramai 22.52 juta orang, status sosioekonomi Bumiputera masih di tahap yang memerlukan peningkatan, khususnya kesenjangan kekayaan, jurang pendapatan serta pemilikan aset yang masih rendah.

"Justeru, melalui model ‘quadruple helix’, Teraju dengan rakan-rakan kolaborasi seperti Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Far East Planet dan para peserta, telah berjaya membuka ruang dan peluang kepada golongan B40 untuk turut terlibat sebagai pemain dalam sektor berimpak tinggi yang akan menerajui industri masa hadapan,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika melakukan satu sesi turun padang ke tapak pembenihan dan penternakan akuakultur, ikan kelah di Far East Planet, di sini, baru-baru ini.

Lawatan kerja itu dibuat untuk bersama-sama dengan usahawan Bumiputera B40 di bawah Program Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera (DPUB) 2020, Zon Selatan.

DPUB merupakan salah satu inisiatif kerajaan yang telah dilaksanakan oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) sejak tahun 2015, dalam usaha meningkatkan pendapatan isi rumah golongan kurang berkemampuan dan berpendapatan rendah.

Selain itu, ia bagi meningkatkan ekonomi luar bandar, mencipta peluang pekerjaan, mendorong keusahawanan, mempertingkatkan produktiviti dan mengembangkan potensi perniagaan.