SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) menawarkan dasar dan menampilkan pimpinan yang jelas menolak budaya korupsi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Bendahari Agung, Lee Chean Chung berkata, ia berbeza dengan parti lain kerana tiada seorang pemimpin PKR, hari ini dibicarakan di mahkamah disebabkan korupsi.
Tambahnya, selama 23 tahun PKR masih konsisten memperjuangkan politik bersih dan telus melalui reformasi institusi serta kesedaran awam.
Dalam pada itu, beliau berkata, PKR juga menggesa Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) supaya berhenti berlakon atas siapa tokoh yang lebih suci dan tidak mengamalkan korupsi.
Menurutnya, kedua-dua parti tersebut sentiasa bisu dalam isu berkenaan dan slogan Keluarga Malaysia ternyata hanya retorik untuk menutup kegagalan kerajaan.
"Ambil isu saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), (Tan Sri) Azam Baki sebagai contoh, setakat ini tiada sebarang tindakan yang diambil, maka BN dan PN tidak perlu hipokrit kononnya tolak korupsi.
"Bagi PKR, jelas kedua-dua barisan ini adalah sama.
"UMNO/BN adalah sinonim dengan penyelewengan dan budaya korupsi selama 60 tahun ini. Tidak kira kluster mahkamah ataupun kluster yang lain, virusnya tetap sama,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mengulas lanjut, Chean Chung berkata, kedua-dua blok tersebut merupakan sebahagian daripada kerajaan yang gagal menguruskan pandemik tahun lalu dan terus terjerumus dalam peperangan dalaman.
"Adakah rakyat boleh terus menaruhkan harapan kepada mereka? Tidak,” jelasnya.