KUALA TERENGGANU - Seorang tekong warga Vietnam dihukum denda RM300,000 manakala enam awak-awaknya didenda RM30,000 di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini kerana cuba menangkap ikan di perairan negara.
Keputusan dibuat Hakim Azman Mustapha selepas semua tertuduh mengaku salah mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 (Akta 317).
Tertuduh, Nguyen Thai Dan, 27, turut berdepan penjara dua tahun dan awak-awaknya yang berusia antara 23 hingga 54 tahun boleh dipenjara setahun sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama cuba menangkap ikan tanpa kebenaran di bawah mana-mana perjanjian Perikanan Antarabangsa dan tanpa suatu permit sah yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia di bawah Seksyen 19 Akta Perikanan 1985.
Mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut di atas vesel penangkapan ikan asing bernombor BD 93417 TS di kedudukan lebih kurang 67.8 batu nautika dari Kuala Kemaman, Terengganu, lebih kurang jam 9.15 pagi, pada 2 Mac lalu.
Kesalahan itu boleh dihukum mengikut Seksyen 25(a) Akta Perikanan 1985 yang dibaca bersama Seksyen 52(1) (a)(¡) dan (¡¡) akta sama.
Mahkamah turut memerintahkan vesel, peralatan komunikasi dan navigasi berserta peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan laut yang semuanya mencecah hampir RM500,000 dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim), Mohamad Afiq Taqiudin Roslan.
Sementara itu, dalam kes berasingan seorang tekong warga Vietnam dijatuhi hukuman denda RM500,000 manakala empat awak-awaknya pula didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini.
Tidak cukup dengan itu, tekong, Nguyen Anh Van, 34, turut berdepan hukuman tiga tahun penjara manakala empat awak-awaknya berusia antara 24 hingga 36 tahun pula berdepan hukuman dua tahun penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.
Keputusan itu dibuat selepas semua tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 (Akta 317) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 25(a) yang dibaca bersama Seksyen 52 (1) (a) (i) dan Seksyen 52 (1)(a)(ii) akta sama.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di atas vesel penangkapan ikan asing pada jarak 71.3 batu nautika dari perairan Kuala Kemaman, jam 8.30 pagi pada 2 Mac lalu.
Selain itu, mahkamah memerintahkan semua barang kes iaitu sebuah kapal penangkapan ikan, peralatan komunikasi dan navigasi berserta peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan yang berjumlah keseluruhan hampir RM500,000 dilucutkan kepada kerajaan Malaysia.