KUALA LUMPUR - Tiada projek pembangunan komersial yang diluluskan atau diberi milik kepada pemaju melibatkan enam kolam takungan banjir di ibu negara, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.
Beliau berkata, sebaliknya projek pembangunan hanya melibatkan di pinggiran dua kolam takungan banjir iaitu Kolam Wahyu dan Kolam Delima di Kepong, dan pembangunan itu masih tidak menjejaskan kedua-dua kolam terbabit.
"Tiada kolam takungan banjir yang diberi milik atau kelulusan bagi pembangunan sehingga menyebabkan kapasiti air yang ada itu berubah seperti dakwaan sebelum ini, tidak ada.
"Pembangunan yang ada hanya di Kolam Taman Wahyu dan Kolam Delima tapi hanya di pinggiran, bukan melibatkan kawasan air,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan sesi taklimat status kolam takungan banjir bersama dengan ahli-ahli parlimen dari Kuala Lumpur di sini pada Selasa.
Shahidan berkata, proses pemilikan tanah di pinggiran kedua-dua kolam takungan banjir terbabit di bawah kendalian Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) dan terus kepada pemaju tanpa melibatkan pihak ketiga.
Sebelum ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dilaporkan membuka kertas siasatan berhubung dakwaan enam kolam takungan banjir ditukar status untuk projek pembangunan setelah beberapa ahli Parlimen membuat laporan polis mengenai dakwaan itu. - Bernama