SHAH ALAM - Tindakan menyeru Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk melaksanakan sumpah laknat adalah cara segera untuk mempertahankan diri daripada pembohongan.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, beliau bukan taksub kepada sumpah tersebut, namun tuduhan itu keterlaluan dan memaksanya untuk melakukan.
Menurutnya, dalam keadaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semakin menghampiri dan menerima tohmahan sebegitu, beliau tidak mempunyai banyak pilihan.
"Jika membawanya ke mahkamah pasti panjang prosesnya dan hanya terbukti sesudah PRN Johor lama berakhir.
"Bersumpah bukan perkara main-main jika implikasinya mungkin tidak di dunia, tetapi di akhirat nanti.
"Itulah destinasi sebenar kehidupan setiap insan sedangkan dunia hanyalah tempat tumpangan sementara semata-mata.
"Kalau dia bercakap benar, kenapa takut untuk bersumpah laknat? Mungkin dia sebagai anak ulama sudah tahu akibatnya jika dia laksanakan sumpah laknat,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan bahawa Muhyiddin tidak berganjak dengan kenyataannya bahawa Ahmad Zahid bertemu dengannya selepas beberapa hari beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.
Tegasnya, apa yang disuarakannya adalah benar dan bukan permainan politik.
Dalam pada itu, Zahid turut menegaskan bahawa beliau tidak pernah bertemu bekas Perdana Menteri itu untuk memintanya dibebaskan seperti yang didakwa.
Tambahnya, sejak awal beliau yakin tidak bersalah terhadap pendakwaan dikenakan oleh Pakatan Harapan (PH) sejurus mereka menguasai kerajaan.
"Saya menghadapi pendakwaan dengan cekal dan tabah kerana percaya kebatilan tidak sesekali mampu mengatasi kebenaran.
"Malah, saya yakin barisan guaman saya akan memenangi kes, namun dengan syarat tiada tangan-tangan ghaib cuba menidakkan keadilan buat saya.
"Keputusan PRN Johor tidak beri kesan kepada mahkamah, sebaliknya beri kesan kepada mereka yang pernah menipu rakyat, mereka yang mengkhianati perjuangan BN kerana takut didakwa atau terpesona dengan tawaran.
"Insya-ALLAH walau apa tohmahan mereka lemparkan, Pengerusi BN tidak akan sesekali melutut di hadapan mereka. Meski berdentum guruh di langit, tidak hancur bumi sebelum kiamat. Banyak ujian menimpa, namun perjuangan tetap saya teruskan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Zahid menegaskan, mereka yang sanggup membuat tuduhan fitnah demi kepentingan politik sepatutnya dianggap memalukan.
"Hari ini pihak yang menuduh enggan menyahut seruan bersumpah laknat sebagai membuktikan keyakinan apa yang dikata.
"Saya berharap hentikanlah politik hasutan dan kebencian seperti itu yang tidak membawa sebarang manfaat kepada rakyat.
"Apapun saya dengan hati yang ikhlas dan terbuka memaafkan insan-insan yang cuba menzalimi saya sekali lagi.
"Begitu juga kepada penyokong-penyokong dan labu-labunya yang terpedaya menjadi lidah serta jari penyebar fitnah dan pembohongan,” ujarnya.