KAJANG - Menjadi seorang penjual mangga asam boi di lampu isyarat merupakan satu-satunya pekerjaan yang boleh dilakukan ketika ini bagi meneruskan kelangsungan hidup setelah dibuang kerja.
Itu luahan seorang penjual dikenali sebagai Ahmad, 30, yang sebelum ini bekerja di sebuah kilang namun terpaksa berhenti selepas pandemik Covid-19 melanda negara.
Ahmad berkata, meskipun pekerjaan yang dilakukan itu berbahaya kerana menjual di jalan raya, namun dia terpaksa melakukannya bagi memperoleh pendapatan harian.
"Semua tahu pekerjaan ini agak bahaya. Tetapi nak buat macam mana, hanya ini sahaja kerja yang ada dan saya boleh lakukan. Kalau tak kerja lagi susah.
"Kerja ini memang bahaya. Tetapi bagi mereka yang sudah kerja dalam bidang ini, tahu selok belok bagaimana mahu menjual. Awal-awal sahaja rasa bahaya, lama-lama dah tahu cara yang betul untuk menjual di jalan,” katanya ketika ditemui wartawan Sinar Harian.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, jualan tersebut tidak dilakukan setiap hari dan ia bergantung kepada stok mangga yang diperoleh.
"Saya tidak jual hari-hari sebab tengok juga stok mangga yang dapat.
"Saya mula jual dari jam 12 tengah hari dan pulang sebelum sebelum 7.30 petang. Dalam tempoh tujuh jam ini, paling banyak saya boleh jual dalam 20 botol. Untung pun tidak terlalu banyak kalau tolak modal semua.
"Sudahlah berniaga di bawah matahari, untung pula agak sedikit. Tetapi, saya tetap bersyukur dengan perniagaan ini dan berharap dapat jual lebih banyak lagi,” ujarnya.
Seorang lagi penjual dikenali Kamal, 24, memaklumkan pendapatan yang diperoleh sebagai peniaga mangga asam boi di lampu isyarat hanya RM1,000 sebulan.
"Saya buat kerja ini di bawah orang lain, maksudnya ada ketua. Sebotol saya jual dapatlah untung RM3. Jadi memang saya kena kerja keras untuk dapatkan hasil yang lebih,” katanya.
Walaupun mengetahui perniagaan itu boleh berdepan tindakan saman, Kamal berkata, dia tidak berhasrat untuk mencari kerja lain kerana tidak mempunyai kelulusan tinggi dalam pelajaran.
"Saya tidak mampu untuk cari kerja lain sebab saya tiada kelulusan. Jadi, ini satu-satunya kerja yang saya rasa boleh dilakukan demi menyara hidup. Sebelum ini ada juga cuba kerja lain, tetapi bayaran lebih murah.
"Saya memilih kerja ini sebab hanya perlu bekerja pada waktu pagi dan balik sebelum malam,” ujarnya.
Bagi Azman Salleh, 28, dia melakukan perniagaan tersebut bagi memperoleh pendapatan sampingan selepas terjejas dengan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.
"Saya keluar menjual pada waktu pagi hingga petang manakala pada sebelah malam bekerja sebagai pengawal keselamatan.
"Saya terpaksa buat dua kerja untuk pastikan keluarga cukup makan. Cukuplah semasa PKP sahaja merana,” katanya.
Menurutnya, ketika menjual di lampu isyarat tahap keselamatan diri tetap dijaga bagi mengelakkan berlaku kemalangan.
"Alhamdulillah sepanjang saya menjual, tiada sebarang peristiwa atau kejadian buruk berlaku kerana sentiasa berhati-hati,” ujarnya.