Kerajaan perlu tangani secara berhemah

Iklan
Penjaja menjual asam boi di lampu isyarat. (Gambar kecil: Rosli)

SHAH ALAM - Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia menggesa kerajaan menangani isu peniaga yang menjual di lampu isyarat dengan berhemah.

Presidennya, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, selain tindakan saman oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), kerajaan juga perlu melibatkan penguatkuasaan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Imigresen Malaysia.

Iklan
Iklan

"Kerajaan kena berhemah dalam isu ini. Saya lihat ia semakin berleluasa. Saya cadangkan kepada kerajaan untuk libatkan sekali PBT dan juga imigresen.

"Ini kerana kita tidak tahu siapa yang menjual dekat lampu isyarat ini sebab ada dalam kalangan mereka yang bukan warganegara Malaysia,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Iklan

Mengulas lanjut, beliau berkata, tindakan saman sememangnya wajar dikenakan kerana perniagaan tersebut membahayakan penjual dan pengguna jalan raya.

"Kita tidak menggalakkan peniaga menjual di mana-mana lampu isyarat di Malaysia kerana ini bukan budaya kita. Kalau mereka mahu berniaga, kena cari tempat yang sesuai. Kita takut berlaku kemalangan.

Iklan

"Jualan ini juga beri kesan kepada trafik kerana aliran lalu lintas akan menjadi perlahan. Saya minta kerajaan proaktif dalam menangani kegiatan ini. Kalau tidak, ia akan jadi budaya dan kebiasaan kepada kita.

"Jangan kita ikut seperti Indonesia. Di lampu isyarat mereka pelbagai jualan ada. Ada tisu, keropok dan macam-macam lagi,” ujarnya.

Dalam masa sama, Rosli mencadangkan agar peniaga tersebut mengambil inisiatif lain seperti menjalankan perniagaan dari kedai ke kedai bagi memastikan keselamatan berada pada tahap yang baik.

"Pada saya, konsep perniagaan yang dilakukan ini memang tidak boleh. Kalau nak meniaga cari kawasan yang sesuai,” katanya.

Aktiviti jualan di lampu isyarat adalah satu kesalahan di bawah Kaedah 10A (1) Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan 1959 (LN 166/59) yang menyatakan tiada urusan jual beli di persimpangan atau mana-mana jalan raya.

Individu yang terlibat dalam urusan jual beli boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan jika disabitkan kesalahan.