Gaji minimum: Kenapa masih belum ada kata putus?

Iklan
Foto 123rf

PENETAPAN gaji minimum yang didesak oleh pelbagai pihak iaitu sebanyak RM1,500 masih lagi tidak mempunyai sebarang kata putus oleh kerajaan.

Menurut kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, penetapan tersebut masih lagi dalam proses semakan dan kajian semula selaras dengan Akta Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732).

Iklan
Iklan

Jelasnya, buat masa kini, kadar gaji minimum masih lagi RM1,200 di kawasan majlis bandaraya dan majlis perbandaran manakala bagi kawasan lain adalah RM1,100 yang berkuat kuasa sejak tahun 2020.

"Walaupun semakan kasar terhadap gaji minimum ini belum diputuskan dan dimuktamadkan oleh kerajaan, terdapat majikan telah mula membayar gaji minimum pada kadar RM1,500.

Iklan

"Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada AEON CO. (M) BHD dan Westports Holdings yang telah menawarkan gaji pada kadar RM1,500 kepada para pekerja mereka,” katanya.

Meskipun terdapat pihak menaikkan gaji pekerja, namun begitu masih banyak lagi syarikat tidak bersedia untuk meningkatkan dan membayar gaji pekerja sebanyak RM1,500.

Iklan

Ada juga menyatakan bahawa kini sedang dalam fasa pemulihan daripada pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sukar untuk mematuhi sekiranya gaji minimum pekerja tersebut dinaikkan.

Seharusnya perkara tersebut tidak berlaku dan perlu ada pertimbangan dari majikan memandangkan keadaan ekonomi negara kini dibelenggu peningkatan kos sara hidup menyebabkan gaji yang diterima sekarang hanya sekadar cukup-cukup makan.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga mendedahkan bahawa banyak syarikat dan majikan tidak bersetuju dengan kadar gaji minimum sekitar RM1,500.

Namun begitu, jelas beliau, perbincangan dengan semua majikan sedang dilaksanakan untuk penetapan kadar gaji minimum baharu pada nilai sekitar RM1,500 sebulan sebelum penghujung tahun ini.

Melalui pendedahan tersebut, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wilayah Persekutuan, P Prabakaran menyifatkan ia tidak sensitif dengan golongan kelas pekerja yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup akibat inflasi ekonomi.

Menurut Prabakaran, Ismail Sabri sepatutnya membentangkan dan memberikan solusi untuk rakyat Malaysia yang mampu mencapai paras gaji minimum.

Dakwanya, Malaysia sebenarnya sudah jauh ketinggalan berbanding negara-negara lain dalam isu penetapan paras gaji minimum.