Pesakit buah pinggang gigih hasilkan beg tangan kait

Iklan
Wan Mazahuzie melakukan kerja mengait beg tangan untuk pelanggannya.

KOTA BHARU - Walaupun terpaksa menahan kesakitan akibat penyakit buah pinggang kronik yang dihidapi tidak mematahkan semangat seorang ibu tunggal di Kedai Lalat, di sini, yang tetap gigih mencari rezeki dengan menghasilkan beg tangan kait.

Wan Mazahuzie Wan Mohamad, 40, berkata, dia hanya mampu bertahan empat sehingga lima jam sehari untuk melakukan kerja-kerja mengait beg tangan yang ditempah pelanggan bagi membayar kos rumah sewa RM400 sebulan dan menyara seorang anak lelaki berusia setahun enam bulan, Waiz Qayyum Roslan.

Iklan
Iklan

"Penyakit saya sudah berada pada tahap lima dan tidak boleh duduk terlalu lama untuk mengait tetapi perlu juga dilakukan kerana ini punca pendapatan saya sejak tiga tahun lalu.

Wan Mazahuzie memakaikan kopiah yang dikait olehnya kepada anak lelakinya, Waiz Qayyum Roslan.

Iklan

"Selain beg tangan, saya juga menghasilkan pelbagai produk seni kait yang lain seperti kopiah, bunga telur dan terbaru tali penyambung pelitup muka,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, pada Selasa.

Menurutnya, hemodialisis dilakukan di rumah setiap hari menggunakan mesin yang diwakafkan kepadanya selain turut menderita penyakit Systemic Lupus Erythematosus (SLE) iaitu membabitkan gangguan pada sistem imun tubuh badan.

Iklan

"Sebelum ini saya berniaga kedai makan dan berhenti pada tahun 2019 kerana sakit semakin kronik dan mula menghasilkan produk seni kraf kait yang dijual antara RM10 sehingga RM200 bergantung kepada rekaan.

Rawatan hemodialisis yang dilakukan oleh Wan Mazahuzie.

"Arwah ibu saya pandai mengait dan saya mewarisi bakatnya. Saya boleh mengait sejak di bangku sekolah dengan membuat bekas untuk meletakkan botol air,” katanya.

Ujarnya, asas yang ada pada dirinya kemudian diasah lagi dengan menuntut ilmu tambahan menerusi video-video yang ditonton di laman YouTube.

"Selain menjual barangan hasil tangan ini saya juga membuka kelas mengait secara dalam talian dengan memuat naik video-video mengait menerusi bayaran yuran RM10 setiap peserta.

Wan Mazahuzie menunjukkan beg tangan dan baju kanak-kanak yang siap dikait olehnya.

"Pendapatan saya tidak menentu sekitar RM500 sehingga RM1,000 sebulan bergantung kepada tempahan dan tidak mencukupi untuk menampung belanja sekitar RM1,000 ubatan serta rawatan dengan bil ketika dimasukkan ke wad sebelum ini pun masih tertunggak RM700,” katanya.

Bagi yang ingin membantu boleh menghubunginya di talian 011-11926391 atau salurkan ke akaun Maybank Wan Mazahuzie Wan Mohamad 153131118749.