50 peratus perjawatan Hospital Pengajar UniSZA sudah diisi

Iklan
Fadzli (dua dari kanan) berkata sesuatu kepada media yang hadir pada Majlis Ngeteh UniSZA & Media yang diadakan di Primula Beach Hotel pada Rabu.

KUALA TERENGGANU – Lebih 50 peratus daripada 951 perjawatan Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Kuala Nerus sudah diisi sebagai persediaan operasi hospital berkenaan tidak lama lagi.

Naib Canselor UniSZA (Menjalankan Fungsi) Profesor Dr Fadzli Adam berkata, beberapa siri iklan pengambilan kakitangan akan dibuka selepas ini bagi melengkapkan baki kekosongan perjawatan yang diterima dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Iklan
Iklan

"Pengambilan kakitangan sudah diambil secara agresif dan perjawatan ini kita jangka akan selesai selewat-lewatnya apabila hospital mula beroperasi nanti,” katanya selepas Majlis Ngeteh UniSZA & Media yang diadakan di Primula Beach Hotel, di sini pada Rabu.

Seramai 75 pengamal media dari pelbagai agensi media termasuk Presiden Kelab Wartawan Media Terengganu (Kawat), Khairul Azlam Mohamad hadir ke majlis tersebut.

Iklan

Sementara itu menurut Fadzli, operasi Hospital Pengajar UniSZA yang dibangunkan dengan kos RM281 juta itu tidak dapat dimulakan pada April ini sebagaimana perancangan awal.

Beliau berkata, kelewatan operasi tersebut disebabkan beberapa faktor termasuk proses penyediaan barangan dan peralatan di hospital yang rumit serta memakan masa.

Iklan

"Bagaimanapun kelewatan ini tidak mengambil masa yang lama, mungkin beberapa bulan dari tarikh perancangan awal,” jelasnya.

Hospital Pengajar UniSZA setinggi enam tingkat yang dilengkapi 200 katil itu siap sepenuhnya pada 11 Disember 2021.

Selain blok utama, antara kemudahan lain terdapat di hospital itu ialah blok kejuruteraan di samping pengurusan jenazah dan hyperbaric.