Lagi lokasi baharu pencemaran kimia ditemui di Pasir Gudang

Iklan
Tinjauan dari udara memperlihatkan keadaan Sungai Kim Kim dekat Pasir Gudang, semalam. - Foto Bernama

JOHOR BAHRU - Satu lagi lokasi baharu dipercayai menjadi tempat pembuangan sisa kimia ditemui di tepi Lebuhraya Pasir Gudang menghala ke Johor Bahru, berhampiran Sungai Masai, di sini.

Tinjauan mendapati terdapat kerja mengangkat sisa buangan menggunakan dua jentera berat serta kehadiran ramai pekerja lengkap berpakaian keselamatan peribadi (PPE) dan topeng penutup muka di kawasan berkenaan.

Iklan
Iklan

Selain itu, terdapat lebih 10 tong biru disusun di tepi jalan lebuh raya yang berada kira-kira 18 hingga 20km dari kawasan Sungai Kim Kim.

Sebelum ini, gambar-gambar pekerja berpakaian PPE menjadi viral sejak petang semalam sehingga menimbulkan kebimbangan baharu penduduk berhampiran susulan kes pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang.

Iklan

Ketika menghampiri lokasi berkenaan, beberapa petugas berpakaian oren bertindak menghalang pihak media daripada mengambil gambar dan membuat liputan.

Semalam, penduduk Taman Tanjung Puteri Resort turut melahirkan rasa kebimbangan selepas penemuan beberapa tong biru dipercayai digunakan membuang sisa bahan kimia, di Sungai Sembilang, kira-kira dua kilometer dari Sungai Kim Kim.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: Penemuan tong sisa kimia cetus kebimbangan penduduk

Lokasi itu berada kira-kira 500 meter dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Puteri Resort, salah satu sekolah yang turut dilanda simptom 'Kim Kim' pada Selasa minggu lalu.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin dijangka membuat sidang media di lokasi pertama pembuangan sisa kimia berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih petang ini. - Bernama