'Tolong bawa pulang ayah dari Korea Selatan'

Iklan
Keadaan Kamarulzaman selepas sedar dari koma pada 14 Februari lalu.

JERANTUT - Keluarga Kamarulzaman Mohamed Fauzi@Jazuli, 50, yang terkandas di Korea Selatan berharap dapat berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi membantu mempercepatkan proses membawa pulang ayah mereka ke negara ini.

Harapan itu disuarakan oleh anak sulung Kamarulzaman, Muhammad Zafifi, 28, dari Kampung Batu Balai di sini yang mendakwa proses membawa pulang ayahnya dari Korea Selatan masih belum selesai sehingga kini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sejak sedar dari koma pada 14 Februari lalu, setiap hari ayahnya bertanyakan bila dia boleh balik ke Malaysia.

"Besar harapan kami jika Perdana Menteri dapat membantu proses mempercepatkan urusan ini kerana semakin lama bil rawatan ayah di hospital akan bertambah.

Iklan

"Selain itu, kami juga risau jika keadaan kesihatan ayah kembali terjejas," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Kamarulzaman menerima rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Chungbuk, Cheongju di Korea Selatan selepas dilaporkan pengsan di rumah sewanya pada 23 Januari lalu akibat pembuluh darah pecah selain terdapat darah beku di bahagian kepala.

Iklan

Kamarulzaman sebelum koma dan datang bekerja di Korea Selatan pada Oktober 2019.

Difahamkan bil rawatan terkini hampir mencecah RM100,000 dan kos tambahan diperlukan untuk membawa pulang Kamarulzaman ke Malaysia.

Muhammad Zafifi berkata, keadaan ayahnya kini sudah stabil, cuma lumpuh sebelah kanan dan sudah boleh bercakap walaupun pelat.

"Sepanjang berada di sana, ayah saya dijaga sepupu, Saloha Adlan, 27. Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang membantu kami sekeluarga," katanya.

Katanya, kini mereka sekeluarga memerlukan kira-kira RM30,000 bagi menampung kos membawa pulang ayahnya.

"Setakat ini, jumlah dana terkumpul sekitar RM100,000 dan jika ayah masih berada di sana, kos akan bertambah," katanya.

Kamarulzaman datang ke Korea Selatan pada Oktober 2019 dengan pekerjaan terkini sebagai operator di sebuah kilang tisu.

Orang ramai yang ingin membantu mengurangkan beban keluarga Kamarulzaman boleh menyalurkan sumbangan ke dalam akaun Maybank,(556208131635) atas nama Muhammad Zafifi Kamarulzaman atau menghubunginya di talian 0148101377 untuk maklumat lanjut.