SEREMBAN - Seorang bayi perempuan berusia 15 bulan disahkan meninggal dunia ketika berada di sebuah pusat asuhan di Taman Nusari Aman, Bandar Sri Sendayan di sini pada Selasa.
Nour Rania Asyifaa Yuseri ditemui tidak sedarkan diri jam 3 petang di dalam buaian di sebuah bilik.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, berdasarkan siasatan awal, sebelum itu mangsa telah diberi susu oleh pengasuh dan dimasukkan ke dalam bilik tidur bersama dua kanak-kanak lain pada jam 12.30 tengah hari.
"Mangsa ditidurkan dalam buaian kain dan dua kanak-kanak lain ditidurkan dalam buaian jenis 'rocker'.
"Selepas itu pengasuh keluar dari bilik pada jam 2 petang untuk melakukan tugas-tugas lain," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, pada jam 3 petang, pengasuh masuk semula ke dalam bilik dan mendapati mangsa dengan keadaan kepala tersangkut pada kain buaian.
Jelasnya, pengasuh kemudian telah melakukan bantuan kecemasan kepada bayi terbabit namun mangsa didapati tidak bernafas.
"Dia kemudian telah membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Sendayan untuk pemeriksaan lanjut namun doktor yang merawat mengesahkan bayi itu telah meninggal dunia pada jam 4.30 petang," katanya.
Sementara itu katanya, hasil siasatan di tempat kejadian mendapati, mangsa ditemui di dalam bilik kedua di sebuah rumah teres satu tingkat yang dijadikan pusat asuhan.
Ujarnya, mangsa ditemui dengan keadaan bahagian leher dan kepalanya telah terkeluar dari buaian.
"Ketika kejadian terdapat dua pengasuh perempuan berusia 37 dan 28 tahun berada di dalam rumah terbabit bersama 14 kanak-kanak dan bayi lain berusia antara enam bulan hingga 7 tahun.
"Pusat jagaan itu didapati mula beroperasi hujung tahun 2019," katanya.
Nanda berkata, mayat bayi berkenaan dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar di sini untuk tindakan lanjut.
"Punca kematiannya masih belum diketahui. Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya.