PASIR PUTEH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan menahan dua buah bot nelayan Vietnam yang menceroboh masuk dan menangkap ikan secara haram di perairan negeri ini pada Isnin.
Kedua-dua bot itu ditahan dalam operasi Op Naga Barat dan Op Kuda Laut pada jarak 51.7 serta 52.8 batu nautika dari Muara Tok Bali di sini.
Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, penahanan dua buah bot itu membawa kepada penangkapan 15 nelayan Vietnam termasuk tekong.
"Semasa melakukan rondaan, anggota bertugas telah mengesan dua bot nelayan asing berada pada jarak 1.5 batu nautika dan terus mengejarnya.
"Pihak kami mengambil masa hampir 30 minit untuk menahan bot pertama yang dikendalikan 12 kru termasuk tekong," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
Menurutnya, bot kedua milik nelayan Vietnam cuba melarikan diri dan berjaya ditahan 25 minit kemudian bersama tiga kru termasuk tekong.
Beliau berkata, kesemua nelayan asing itu termasuk dua tekong yang ditahan berusia 20 hingga 65 tahun.
Syed Nor Adli berkata, pemeriksaan mendapati kedua-dua bot tidak memiliki permit untuk menangkap ikan bawah Akta Perikanan 1985.
"Kesemua kru termasuk tekong juga tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
"Selain itu, kita turun merampas peralatan menangkap ikan, ikan (300 kilogram), sotong kering (50 kilogram) dan 6,000 liter diesel," katanya.
Katanya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM3 juta dan kes disiasat bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985.