KUALA LUMPUR - Sektor automotif dijangka kekal positif pada 2022 dengan pertumbuhan jumlah keseluruhan industri (TIV) akan meningkat 12-14 peratus tahun ke tahun berikutan gangguan bekalan akibat banjir pada Januari 2022 yang bersifat sementara, menurut MIDF Research.
Menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA), TIV pada Januari 2022 merosot 38 peratus bulan ke bulan kepada 40,581 unit.
MIDF Research menerusi nota pada Rabu meramalkan TIV pada sekitar 570,000 - 580,000 unit tahun ini, pendirian yang lebih konservatif berbanding unjuran pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 18 peratus atau 600,000 unit oleh MAA.
"Ia berada pada penghujung julat TIV tahunan pra-pandemik memandangkan kami masih bimbang dengan kekurangan bekalan cip global dan potensi kekangan kepada rantaian bekalan.
"Bagaimanapun, sebarang TIV yang lebih kukuh daripada jangkaan berperanan untuk memperkuat saranan positif kami ke atas sektor ini,” katanya.
Firma penyelidikan itu mengulangi saranan positifnya kepada sektor automotif yang berperanan terhadap pemulihan penggunaan domestik, didorong tempahan tertunggak yang kukuh, sokongan daripada lanjutan pelepasan cukai, kadar faedah rendah dan situasi pekerjaan dan pendapatan isi rumah yang beransur lebih baik.
Ia telah menamakan Bermaz Auto Bhd (BAuto) sebagai pilihan utama berikutan pengembangan jenama itu selepas pengambilalihan francais Kia dan Peugeot, sekali gus menyebabkan pengembangan struktur di bahagian pasaran dan pertumbuhan yang mengatasi industri.
MBM Resources Bhd dan UMW Holdings turut tersenarai sebagai pilihan utama memandangkan kedua-dua syarikat itu merupakan proksi utama kepada pemulihan sektor berkenaan berikutan pendedahan mereka ke atas Perodua dan Toyota (UMW) - berkesan mengawal bahagian saham terbesar industri itu.
"Risiko utama kepada saranan kami adalah sekatan pergerakan selanjutnya, lonjakan inflasi yang berlanjutan, normalisasi kadar faedah yang lebih agresif daripada jangkaan dan kelembapan ringgit,” katanya.
Sementara itu, Kenanga Investment Bank Bhd telah mengekalkan penarafan ‘neutral’ ke atas sektor automotif dengan menyasarkan TIV sebanyak 600,000 unit atau pertumbuhan 18 peratus pada 2022.
Katanya, jualan pada Februari 2022 dijangka sama seperti Januari 2022 berikutan jumlah hari bekerja yang lebih singkat dan gangguan rantaian bekalan akibat banjir baru-baru ini dan kekurangan cip yang sedang berlaku.
"Pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan masih diteruskan sehingga Jun 2022 dengan pelbagai pelancaran baharu pada masa akan datang termasuk pelancaran model yang telah ditangguhkan sejak 2021,” katanya. - Bernama