Individu tidak divaksin berisiko alami tahap serius, kematian

Iklan
Dr Noor Hisham

KUALA LUMPUR - Kumpulan individu yang tidak divaksin tanpa mengira usia merupakan golongan yang paling berisiko dijangkiti Covid-19 kategori empat dan lima serta berdepan dengan kematian akibat jangkitan virus berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keadaan itu dapat dilihat menerusi data Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai kes Covid-19 kategori empat dan lima serta data kematian akibat pandemik itu bagi setiap 100,000 populasi dalam tempoh 26 Januari hingga 22 Februari.

Iklan
Iklan

"Ini dapat dilihat pada carta KKM dan hampir semua kumpulan umur,” katanya dalam kenyataan yang turut memuatkan carta yang menunjukkan kes Covid-19 kategori empat dan lima serta kematian bagi setiap 100,000 penduduk adalah lebih tinggi dalam kalangan individu yang tidak divaksin sepanjang tempoh berkenaan.

Menurut Dr Noor Hisham kumpulan individu yang telah menerima dos penggalak vaksin Covid-19 adalah yang paling terlindung daripada pandemik tersebut.

Iklan

"Dapat dilihat jumlah kes yang lebih rendah dijangkiti Covid-19 yang serius (kategori tiga, empat dan lima) dan juga kematian dalam kalangan penerima dos penggalak berbanding kumpulan yang tidak divaksinasi dan kumpulan yang lengkap divaksinasi tetapi belum menerima dos penggalak,” katanya,

Beliau berkata, vaksin dos penggalak dapat memberi perlindungan yang terbaik daripada kematian dan gejala serius Covid-19.

Iklan

Mengenai peratus penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) Covid-19 di hospital, Dr Noor Hisham berkata, empat negeri menunjukkan peratusan pengisian melebihi 50 peratus iaitu Kelantan dengan 78 peratus, diikuti Johor (69 peratus), Kuala Lumpur (62 peratus) dan Melaka (54 peratus).

Merujuk kes positif Covid-19 yang dicatatkan pada Selasa, beliau berkata, 27,179 kes direkodkan dengan 99.37 peratus atau 27,007 kes merupakan kes kategori satu dan dua manakala hanya 172 kes atau 0.63 peratus merupakan kes dalam kategori tiga, empat dan lima.

Sebanyak 19,037 kes sembuh Covid-19 dicatatkan pada Selasa menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh kini menghampiri tiga juta kes iaitu 2,974,441 kes. - Bernama