IPOH - Polis sedang memburu tiga lagi suspek termasuk seorang wanita yang terbabit dalam insiden kekecohan di pekarangan Jabatan Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, identiti ketiga-tiga individu terbabit telahpun dikenalpasti dan pihaknya akan melakukan tangkapan dalam masa terdekat.
Menurutnya, setakat ini, empat suspek berusia 18 hingga 24 tahun telah ditahan di lokasi berasingan sekitar Ipoh pada Sabtu dan Ahad antara jam 7.45 malam dan 11.50 malam.
"Bagi kes ini, kita sudah menahan empat suspek dan ada tiga lagi yang masih bebas, bagaimanapun kesemua mereka telah dikenal pasti.
"Dalam masa terdekat ini, kita akan tahan mereka untuk dituduh di mahkamah," katanya dalam sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Rabu.
Pada majlis tersebut, seramai 194 orang warga Kontinjen Perak yang menunjukkan prestasi cemerlang diberikan sijil penghargaan selain 12 pegawai dan anggota yang menolak rasuah.
Dalam pada itu, Mior Faridalathrash yakin kes tular yang mendapat perhatian umum itu akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat.
"Siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh," katanya.
Sinar Harian pada Sabtu melaporkan, perselisihan faham antara dua keluarga berkaitan isu cinta dipercayai menjadi punca yang membawa kepada kekecohan di pekarangan HRPB di sini yang videonya tular pada Sabtu.
Kekecohan yang berlaku sekitar jam 12.20 tengah malam pada Jumaat itu melibatkan sekumpulan lelaki warga tempatan yang mahu menghantar mangsa-mangsa cedera ke hospital.
Dalam perkembangan lain, Mior Faridalathrash berkata, polis akan menjalankan siasatan lanjut berhubung penjualan alat penghalau monyet di sebuah kedai di Padang Rengas yang dikatakan mengeluarkan bunyi seakan tembakan sepertimana tular di media sosial.
Menurutnya, siasatan dilakukan bagi menentusahkan tiada sebarang penggunaan bahan letupan terhadap peralatan itu.
"Sekiranya ada menggunakan bahan letupan, barulah kita boleh ambil tindakan di bawah Akta Senjata Api 1960, namun jika tiada maka ia bukanlah satu kesalahan.
"Mungkin juga alat ini satu inovasi yang dicipta untuk membantu halau monyet dan sebagainya yang mengganggu tanaman kerana kita tahu, tidak semua orang boleh memiliki senjata api," katanya.
Video berdurasi satu minit 28 saat yang tular di aplikasi TikTok memaparkan dua lelaki mempromosikan sebuah alat mengeluarkan bunyi seperti tembakan senapang patah yang dijual di sekitar Pokok Asam, Padang Rengas.
Mereka mendakwa alat itu mampu diperoleh dengan harga RM90 untuk digunakan menghalau monyet daripada memusnahkan hasil tanaman di kebun.