ISKANDAR PUTERI - Perikatan Nasional (PN) akan memberi keutamaan kepada calon anak tempatan di semua 56 kerusi yang ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, pada 12 Mac depan.
Setiausaha PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, kesemua calon itu dipersetujui oleh semua komponen melibatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).
"Parti akan menampilkan calon yang hampir seimbang merangkumi golongan berpengalaman, orang muda serta wakil wanita.
"Memang kita akui apabila banyak calon dan parti bertanding akan ada kesan kepada PN, tetapi saya yakin pengundi akan pilih calon terbaik di kawasan mereka.
"Kami di PN ada gabungan anak muda, orang berpengalaman dan di PN kita ingin pastikan setiap calon kita merupakan anak tempatan dan mereka yang betul-betul boleh berkhidmat kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis ramah mesra Setiausaha PN bersama pengamal media di sebuah hotel di bandar raya ini di sini, pada Selasa.
Dr Sahruddin berkata, gerak kerja menghadapi PRN Johor juga telah dibuat sejak pembubaran DUN pada Januari lalu yang mana parti telah bersiap sedia untuk menggunakan segala pengalaman yang ada untuk kembali mentadbir negeri ini.
"Dengan pengalaman yang ada Insya-ALLAH kita yakin dapat mentadbir Johor dan seterusnya Malaysia dengan lebih baik, sempurna, integriti, amanah dan jujur,” katanya.
Pada masa sama, penyandang kerusi Bukit Kepong itu berkata, PN turut menjalankan beberapa program yang khusus untuk mendekati pengundi baharu termasuk golongan muda yang berjumlah lebih 700,000.
"Undi muda memang ramai, PN buat beberapa program untuk mendekati mereka. Anak-anak muda ini sebenarnya mereka mahu pemimpin yang integriti dan boleh bekerja untuk mereka," ujarnya.