SHAH ALAM - Generasi muda hari ini menjadi sandaran untuk membina semula Malaysia tanpa rasuah dengan memilih pemimpin yang berintegriti.
Penasihat Projek Rasuah Busters, Datuk Muhammad Nasir Hamzah berkata, usaha untuk mencipta semula tamadun dan memahat sejarah baharu negara itu dapat dilakukan sekiranya golongan tersebut membuat pilihan tepat dalam menentukan calon yang bakal memimpin negara kelak.
Tegasnya, ekosistem rasuah yang berakar umbi dalam negara perlu dihapuskan dengan mewujudkan masyarakat yang membenci budaya memberi dan terima rasuah serta sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa.
"Saya yakin mungkin ada antara anda semua di sini akan mengundi buat kali pertama selepas ini. Pertama sekali apa yang perlu dilakukan adalah tidak kiralah mana-mana parti (calon), tetapi apa yang perlu dilakukan adalah memilih calon yang berintegriti kerana masa depan negara terletak kepada mereka ini (pemimpin).
"Kita tukang pilih (mengundi) sahaja, tetapi masa depan negara terletak kepada mereka (tentang) ke arah mana mereka ingin bawa negara atau seperti apa yang mereka mahu jadikan negara ini sama ada sudut yang lebih baik atau sebaliknya. Mereka tidak boleh dipersalahkan sekiranya gagal, tetapi yang boleh dipersalahkan adalah kita sendiri kerana memilih mereka.
"Jadi, kalau kita sebagai pengundi, rakyat tidak mengubah keadaan ini (rasuah dalam negara ketika ini), maka saya yakin negara dan kita semua akan hancur disebabkan rasuah yang berleluasa. Justeru, saya menyeru semua pihak untuk mempertahankan kempen memerangi rasuah, kita bentuk satu budaya budaya baharu tanpa rasuah di negara yang kita cintai ini demi kesejahteraan generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah ‘Rasuah Makan Diri’ anjuran Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) yang diadakan secara dalam talian pada Rabu.
Program yang berlangsung kira-kira sejam itu merupakan tugasan wajib dalam subjek keterlibatan komuniti untuk pelajar semester empat Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak (DPAKK) KUIM bagi membina kesedaran dan lebih bertanggungjawab supaya menolak budaya kotor itu.
Selain itu, program yang disertai kira-kira 50 orang itu turut membuka ruang sesi soal jawab berkaitan isu rasuah antara Muhammad Nasir yang juga Timbalan Pengerusi Kumpulan Karangkraf bersama peserta.
Mengulas lanjut, Muhammad Nasir turut mengesyorkan agar semua pihak khususnya golongan muda untuk mendesak pemimpin khususnya calon yang akan bertanding dalam pilihan raya untuk menjalani ujian psikometrik Rasuah Busters Tag (RBTag).
"Dalam usaha kita melaksanakan RBTag ini, saya berpeluang menemui pelbagai peringkat pemimpin dan saya nampak ada yang betul-betul jujur untuk menolak rasuah dan ada juga yang cuba untuk mengambil peluang daripada peluang yang ada (bersikap tidak jujur).
"Sekiranya kita tidak melakukan sesuatu hapuskan rasuah ini, maka negara kita akan berterusan bergelumang dengan rasuah. Jadi belia yang akan mencorak masa depan negara nanti,” katanya.
Tambahnya, usaha untuk menghapuskan rasuah yang telah membarah ini tidak akan tercapai tanpa adanya kesedaran dan sokongan semua pihak, selain memerlukan gerakan rakyat secara besar-besaran.