PASIR MAS - Kanak-kanak mangsa kemalangan di Kampung Banggol Stor, Repek Jumaat lalu, Nurul Iman Maisara Mohd Khairi, 6, kini berada dalam keadaan stabil di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.
Kemalangan maut itu meragut nyawa ibunya, Allahyarham Nor Haliza Abdul Yazaib dan bayi dalam kandungan.
Bapa kanak-kanak itu, Mohd Khairi Hasbullah, 31, memaklumkan bahawa Nurul Iman Maisara kini dalam proses pemulihan secara beransur-ansur tetapi belum menetapkan tempoh rawatan yang akan diterima.
"Bagaimanapun doktor memberitahu situasi itu bergantung sepenuhnya kepada kesihatan anak saya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Menurutnya, anak kedua daripada tiga beradik itu menjalani pembedahan membuang tempurung kepala Isnin lalu.
Justeru, dia merayu orang ramai supaya terus berdoa supaya Nurul Iman Maisara kembali pulih.
Katanya, Nurul Iman Maisara merupakan sumber kekuatan sejak kematian isteri.
Mohd Khairi yang bekerja sebagai tukang rumah berkata, buat masa ini dia masih belum dapat keluar bekerja kerana perlu menjaga dua lagi anak di rumah iaitu Muhammad Haziq, 2, dan Puteri Irdina, 8, yang masih lagi trauma dengan kejadian itu.
Sinar Harian pada 19 Februari lalu melaporkan tiga termasuk wanita dan bayinya yang terkeluar dari kandungan maut dalam nahas membabitkan dua motosikal di Kampung Banggol Stol, Repek di sini pada Jumaat.
Dalam kejadian jam 7 malam itu, Nor Haliza Abdul Yazaib, 25, maut di lokasi selepas mengalami kecederaan parah sementara bayinya disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di Hospital Pasir Mas (HPM).
Kemalangan tersebut turut mengakibatkan seorang lagi remaja, Muhamad Shakim Mohd Zaki, 18, meninggal dunia pada jam 10.45 malam semasa menerima rawatan di HPM.