Tukang cat ditahan, jerut lelaki sampai mati

Iklan
Lokasi mayat mangsa ditemui di kawasan semak di Jalan Kionsom, Inanam, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Seorang tukang cat yang disyaki menyebabkan kematian seorang lelaki di kawasan semak di Jalan Kionsom, Inanam, di sini ditahan polis pada Rabu.

Suspek lelaki berusia 43 tahun ditahan kira-kira jam 11.20 pagi di rumah sewanya di Kampung Bambangan, Inanam.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, suspek yang bekerja sebagai tukang cat kenderaan itu ditahan bersama telefon pintar milik mangsa.

Menurutnya, ketika ditahan, suspek mengaku membunuh mangsa berusia 25 tahun pada Selasa.

Iklan

"Berdasarkan pengakuan dan barangan yang dirampas, polis percaya kes bunuh seorang lelaki, malam tadi selesai sepenuhnya.

Suspek ditahan di rumah sewanya di Kampung Bambangan, Inanam, Kota Kinabalu.

"Bagaimanapun, siasatan lanjut akan diteruskan sebelum pendakwaan dilakukan terhadap suspek,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Iklan

Sebelum itu, mayat mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap dengan kesan jerutan pada leher oleh isteri dan ahli keluarganya kira-kira jam 8 malam.

Mohd Zaidi Abdullah berkata, bertindak atas laporan keluarga mangsa, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bergegas ke lokasi untuk siasatan lanjut.

Katanya, operasi turut dibantu anggota Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9), Jabatan Siasatan Jenayah dan Pasukan Forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

"Siasatan awal mendapati, mangsa bersama bapanya ke sebuah bengkel untuk bertemu dengan pemiliknya kira-kira jam 1 petang.

"Mangsa bersama pemilik bengkel kemudian keluar dan mangsa sempat menghantar lokasi menerusi aplikasi WhatsApp kepada bapanya, namun mangsa gagal dihubungi sebelum usaha mencarinya dilakukan," katanya.

Mohd Zaidi berkata, hasil pemeriksaan awal yang dijalankan Unit Kecemasan Hospital Likas mengesahkan mangsa dipercayai mati dalam tempoh lebih enam jam sebelum ditemui akibat dijerut di leher.

"Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE) untuk tindakan selanjutnya.

"Suspek akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan,” katanya.