PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Sejumlah 87 kes atau 7.34 peratus daripada 1,186 laporan kesan advers susulan imunisasi (AEFI) bagi dos penggalak vaksin Covid-19 diklasifikasikan sebagai serius.
Pengarah Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Dr Roshayati Mohamad Sani berkata, sebanyak 1,186 laporan AEFI yang diterima agensi itu setakat 18 Februari adalah bersamaan dengan kadar 86 laporan bagi setiap sejuta dos.
"Daripada pemantauan laporan AEFI diterima oleh NPRA setakat ini, trend dan kadar pelaporan AEFI yang melibatkan dos penggalak tidak menunjukkan sebarang peningkatan daripada apa yang dilihat semasa pemberian dos primer.
"Trend pelaporan yang sama turut dilaporkan oleh negara lain yang telah menjalankan program imunisasi bagi dos penggalak vaksin Covid-19,” katanya dalam taklimat bersama media mengenai AEFI vaksin Covid-19 secara maya pada Rabu.
Bagi laporan AEFI secara keseluruhan, Dr Roshayati berkata, NPRA menerima sejumlah 25,211 laporan dan 93 peratus atau 23,453 kes yang dilaporkan adalah kes tidak serius, manakala 1,758 laporan pula dikategorikan sebagai AEFI serius.
Dr Roshayati berkata, demam, sakit pada tempat suntikan, sakit kepala, sakit otot dan keletihan merupakan antara kesan advers yang paling kerap dilaporkan oleh penerima vaksin manakala kesan serius adalah kes yang memerlukan kemasukan ke hospital, mengancam nyawa atau disyaki menyebabkan kematian.
Menurutnya, sebanyak 38 laporan AEFI melibatkan penerima vaksin daripada golongan kanak-kanak lima hingga 11 tahun diterima setakat 18 Februari dengan 37 adalah kesan advers tidak serius manakala satu laporan serius melibatkan kemasukan ke hospital dan telah pulih.
Beliau memberitahu, kes AEFI yang dilaporkan akan dimasukkan ke pangkalan data NPRA untuk diproses sebelum dinilai dan diberikan kategori hubung kait antara kesan dan vaksin yang diambil, berasaskan kriteria yang digariskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
"Data AEFI yang diterima adalah penting bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko bagi produk vaksin kekal positif dalam mencegah penularan Covid-19,” katanya.
Mengenai isu seorang wanita yang mendakwa hilang deria sentuhan pada dua jarinya susulan dos penggalak vaksin Covid-19 dan berkemungkinan perlu melalui prosedur amputasi, Dr Roshayati memaklumkan NPRA telah menerima laporan penyiasatan berkenaan kes itu.
"Namun ada satu lagi ujian yang belum selesai dan perlu dilakukan. NPRA akan menentukan kemudian sama ada ia berhubung kait dengan vaksin Covid-19 secara langsung. Setelah keputusan ujian diterima, ia akan dibincangkan di peringkat Jawatankuasa Farmakovigilans,” katanya. - Bernama