SHAH ALAM - Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang mengambil inisiatif memperkasakan jaringan hubungan diplomasi pertahanan dan antarabangsa melalui kunjungan hormat beliau di Lubnan.
Ia sempena lawatan kerja beliau ke Kontinjen MALBATT 850-9 yang melaksanakan misi pengaman di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) di Lubnan.
Menurut kenyataan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kunjungan hormat itu diadakan kepada pucuk pimpinan UNIFIL, Angkatan Tentera Lubnan dan juga pertemuan dengan Duta Besar Malaysia di sana.
"Pada 21 Februari 2022, Panglima Angkatan Tentera telah disambut dengan penghormatan ketenteraan ketika membuat kunjungan hormat kepada Timbalan Ketua Misi UNIFIL, Jack Christofides disertai oleh Timbalan Komander UNIFIL, Brigedier Jeneral Irvine Nii-Ayitey Aryeetey di Markas UNIFIL, Naqoura.
"Pertemuan beliau dengan kedua-dua pucuk pimpinan UNIFIL berkenaan merupakan agenda utama dalam menyatakan komitmen Malaysia dan ATM khususnya dalam misi pengaman.
"Ia juga berupaya memperkukuhkan keyakinan antarabangsa sejak Malaysia terlibat menghantar anggota ATM ke Lubnan bermula tahun 2007 yang kemudiannya disertai secara bersama oleh beberapa pegawai dan anggota daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) pada tahun 2008.
"Bermula detik itu, ATM terus diberi kepercayaan untuk kekal terlibat dalam misi pengaman di negara berkenaan yang bukan sahaja menyerlahkan kemampuan anggota, malah turut membuktikan kredibiliti, kewibawaan dan kecemerlangannya sendiri di peringkat antarabangsa," katanya pada Rabu.
Tambah kenyataan, Jeneral Affendi turut mengadakan kunjungan hormat kepada Panglima Angkatan Tentera Lubnan, Jeneral Joseph Khalil Aoun di Kementerian Pertahanan Lubnan di Beirut bagi memperkasakan kerjasama pertahanan antara angkatan tentera kedua-dua buah negara.
Jelasnya, pengekalan dan pemerkasaan kerjasama pertahanan tersebut amat penting bagi meningkatkan kesefahaman serta menyatakan komitmen angkatan tentera kedua-dua negara.
"Tambahan pula ATM melalui kontinjen MALBATT mengawal selia kawasan tanggungjawab seluas 288 kilometer (km) persegi dan memantau keselamatan di 48 buah perbandaran di bawah kawalan operasi Markas Sektor Barat, UNIFIL," ujarnya.
Jelas ATM, Pengekalan kesefahaman dan keyakinan Lubnan khususnya angkatan tentera negara berkenaan terhadap ATM juga merupakan suatu pengiktirafan dan penghargaan.
"Lebih-lebih lagi kontinjen MALBATT amat komited melaksanakan pelbagai aktiviti operasi secara berkala bersama Angkatan Tentera Lubnan di bawah pengoperasian Independent and Coordinated Activity With Lebanese Armed Forces (COAWL),” katanya.
Menurut ATM, ia membuktikan komitmen padu angkatan itu dan tidak ketinggalan kerajaan Brunei melalui penyertaan ABDB di dalam pasukan MALBATT terhadap usaha mewujudkan keamanan sejagat di peringkat antarabangsa yang seterusnya berupaya menambat hati rakyat Lubnan.
Tambahnya, mengakhiri sesi kunjungan hormat, Panglima Angkatan Tentera turut ke Kedutaan Malaysia di Beirut bagi mengadakan pertemuan dengan Duta Besar Malaysia ke Lubnan, Azri Mat Yacob.
"Pertemuan ini merupakan antara inisiatif memperkasakan hubungan ATM dan kedutaan dalam aspek perkongsian pandangan bagi usaha meningkatkan hubungan dua hala antara Malaysia-Lubnan,” katanya.
Turut mengiringi Panglima Angkatan Tentera dalam kesemua kunjungan hormat ini ialah Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Yazid Arshad, Ketua Pengarah Perancangan Pembangunan Markas ATM, Brigedier Jeneral Datuk Wan Amin Hafiz Wan Mahmud, dan Komander MALBATT 850-9, Kolonel Megat Maz Ardi Nohuddin.
Menurut kenyataan, penglibatan ATM dan ABDB melalui kontinjen MALBATT akan terus meletakkan ATM khususnya sebaris dengan angkatan tentera luar yang turut beroperasi di bawah misi pengaman UNIFIL terutamanya di sektor barat Lubnan.
"Ia sekaligus membuktikan pengiktirafan berterusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap ATM serta menunjukkan keupayaan ATM dalam melaksanakan misi-misi pengaman di peringkat antarabangsa,” ujarnya.