Susu bayi tercemar, produk ditarik balik dari pasaran

Iklan
Dr Noor Hisham

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan syarikat Abbott Laboratories (M) Sdn Bhd telah membuat penarikan balik terhadap dua produk susu rumusan bayi tercemar yang berada di pasaran tempatan secara sukarela.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia selepas dua produk berkenaan, Alimentum (400 gram) dan Human Milk Fortifier (0.9gx50 sachets) keluaran Abbott Nutrition’s Sturgis dari Amerika Syarikat dikesan mengandungi bakteria Cronobacter sakazakii dan Salmonella Newport.

Iklan
Iklan

"Syarikat itu juga mengambil tindakan proaktif dengan menghubungi peruncit, pengedar dan institusi yang membeli produk berkenaan agar menghentikan penjualan produk tersebut.

"Hasil siasatan KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan mendapati hanya dua produk tersebut terlibat dengan nombor batch yang dimulai digit 22 hingga 37 pada kodbar di bekas bernombor K8, SH atau Z2 serta mempunyai tarikh luput 1.4.2022 dan seterusnya," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Iklan

Sehubungan itu, pihaknya memberitahu, tindakan penolakan (auto-rejection) terhadap dua produk rumusan bayi berkenaan dilakukan di semua pintu masuk negara

Dr Noor Hisham berkata, semua peniaga termasuk dalam talian yang masih mempunyai stok produk tersebut hendaklah menghentikan serta-merta penjualan dan menghubungi pejabat kesihatan daerah terdekat.

Iklan

"Ibu bapa dan penjaga pula dinasihatkan untuk mengenal pasti batch kod rumusan bayi berkenaan serta berhenti menggunakan produk yang terlibat dan memantau kesihatan bayi serta segera mendapatkan rawatan sekiranya bayi mempunyai gejala selepas meminum rumusan susu bayi tersebut," katanya.

Sebelum ini, Pihak Berkuasa Dadah dan Makanan, Amerika Syarikat (USFDA) melaporkan menemui bakteria Cronobacter sakazakii dan Salmonella Newport dalam dua produk tersebut.

Bakteria Cronobacter sakazakii terdapat secara meluas di persekitaran dan boleh hidup pada keadaan kering seperti di dalam rumusan bayi.

Jangkitan Cronobacter boleh menyebabkan meningitis atau sepsis.

Walau bagaimanapun, ia jarang berlaku dan gejala yang ditunjukkan oleh bayi adalah seperti demam, tiada selera makan atau kelesuan.