Pan Gon pilih Elavarasan

Iklan
Elavarasan

KETUA jurulatih kebangsaan yang baharu, Kim Pan Gon, pada Rabu secara rasminya mengesahkan pemilihan E Elavarasan bagi menggalas tugas sebagai penolong jurulatih tempatan dalam barisan kejurulatihan Harimau Malaya di bawah kendaliannya.

Elavarasan yang lahir pada 5 Januari 1962 kini merupakan ketua jurulatih Sarawak United FC, jawatan yang disandangnya sejak Februari 2020 yang mana beliau berjaya membawa pasukan itu muncul naib juara Liga Premier 2021, sekali gus layak ke Liga Super 2022.

Iklan
Iklan

Menurut Pan Gon, pemilihan jurulatih berusia 60 tahun kelahiran Selangor itu menepati kriteria utama yang dikehendakinya iaitu seorang jurulatih yang berpengalaman luas dengan senario bola sepak Malaysia dan cukup mengenali pemain-pemain yang sedang beraksi dalam kancah Liga Super dan Liga Premier.

"Selepas meneliti calon-calon yang telah ditemu duga oleh Pengarah Teknikal FAM, Scott O'Donell sebelum ini, saya sendiri telah bertemu Elavarasan untuk menemu duga beliau yang mana saya melihat Elavarasan sebagai calon terbaik dan individu paling sesuai untuk membantu saya dalam memberi informasi tepat, nasihat dan pendapat serta beberapa perkara lain.

Iklan

"Saya melihat Elavarasan sebagai seorang jurulatih yang jujur, komited dan beliau sedia untuk memberi sepenuh kerjasama dalam usaha membantu kami barisan kejurulatihan baharu ini mengembalikan skuad Harimau Malaya ke satu tahap prestasi yang lebih baik," kata Pan Gon menerusi kenyataan media pada Rabu.

Elavarasan yang tidak pernah terbabit dalam mana-mana pasukan di bawah naungan FAM sebelum ini, menyifatkan pelantikannya sebagai satu penghormatan.

Iklan

"Saya melihat tugasan ini sebagai satu cabaran dan juga peluang untuk saya menyumbang di peringkat kebangsaan. Saya gembira diberi peluang terbabit dalam projek Pan Gon.

"Saya berharap semua anggota kejurulatihan di bawah seliaan Pan Gon dapat mencipta keserasian dengan segera untuk menghadapi tugasan utama tidak lama lagi.

"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada majikan saya Sarawak United yang sudi melepaskan saya lebih awal daripada kontrak saya dan tidak lupa kepada pemain dan penyokong yang memberi kerjasama kepada saya sepanjang khidmat saya di Sarawak United,” katanya.

Terdahulu, pada sidang media pertamanya pada 17 Februari 2022, Pan Gon yang berasal dari Korea telah memperkenalkan barisan kejurulatihannya dalam mengemudi skuad Harimau Malaya yang terdiri daripada Pau Marti Vicente dari Sepanyol (penolong jurulatih), Cho Junho dari Korea (jurulatih penjaga gol), Dr. Gokhan Kandemir dari Turki (jurulatih kecergasan) dan Lim Jaehun dari Korea (jurulatih analisis prestasi).

Skuad Harimau Malaya dijadual memulakan kem latihan pusat pertama mereka di bawah kendalian Pan Gon pada 14 Mac ini bagi menghadapi dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Filipina pada 23 Mac dan Singapura pada 26 Mac 2022, kedua-duanya di Singapura.