SEREMBAN - Baharu saja kehilangan anak kedua pada dua tahun lalu, sepasang suami isteri reda yang mereka kini kehilangan seorang lagi anak pada Selasa.
Anak bongsu kepada Yuseri Yusoff, 39 dan Anida Idrus, 41, iaitu Nour Rania Asyifaa berusia 15 bulan disahkan meninggal dunia ketika berada di sebuah pusat asuhan di Taman Nusari Aman, Bandar Sri Sendayan.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, kanak-kanak perempuan itu ditemui tidak sedarkan diri di dalam buaian di pusat jagaan berkenaan.
Yuseri berkata, ketika kejadian dia berada di rumah dan isteri menghubungi memaklumkan yang anak tidak lagi bernafas.
"Saya kemudian bergegas ke Klinik Kesihatan Sendayan dan ketika tiba doktor sedang cuba membantu memberi bantuan pernafasan tetapi dia sudah 'tiada'.
"Malam sebelum kejadian anak saya baik-baik saja. Difahamkan ketika kejadian itu anak saya susah tidur, jadi pekerja pusat asuhan itu tidurkan dia di dalam buaian," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar(HTJ) di sini pada Rabu.
Menurutnya, anaknya dihantar ke pusat jagaan itu sejak setahun lalu dan anak sulung yang kini berusia tujuh tahun turut pernah dihantar ke situ.
Ujarnya reda menerima kejadian berlaku dan selebihnya menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.
"Pihak pusat jagaan ada meminta maaf kepada kami sekeluarga atas kejadian berlaku dan difahamkan pihak polis akan merakamkan percakapan ibu bapa lain yang hantar anak ke situ.
"Saya terima kejadian ini kerana ia dah berlaku. Ini ujian buat kami kerana anak kedua saya juga meninggal dunia ketika masih bayi akibat ada komplikasi," katanya.
Sinar Harian sebelum itu melaporkan Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, berdasarkan siasatan awal, sebelum itu mangsa telah diberi susu oleh pengasuh dan dimasukkan ke dalam bilik tidur bersama dua kanak-kanak lain pada jam 12.30 tengah hari.
"Mangsa ditidurkan dalam buaian kain dan dua kanak-kanak lain ditidurkan dalam buaian jenis 'rocker'.
"Selepas itu pengasuh keluar dari bilik pada jam 2 petang untuk melakukan tugas-tugas lain," katanya.
Menurutnya, pada jam 3 petang, pengasuh masuk semula ke dalam bilik dan mendapati mangsa dengan keadaan kepala tersangkut pada kain buaian.
Jelasnya, pengasuh kemudian telah melakukan bantuan kecemasan kepada bayi terbabit namun mangsa didapati tidak bernafas.
Dia kemudian telah membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Sendayan untuk pemeriksaan lanjut namun doktor yang merawat mengesahkan bayi itu telah meninggal dunia pada jam 4.30 petang.
Sementara itu katanya, hasil siasatan di tempat kejadian mendapati, mangsa ditemui di dalam bilik kedua di sebuah rumah teres satu tingkat yang dijadikan pusat asuhan.
Ujarnya, mangsa ditemui dengan keadaan bahagian leher dan kepalanya telah terkeluar dari buaian.
"Ketika kejadian terdapat dua pengasuh perempuan berusia 37 dan 28 tahun berada di dalam rumah terbabit bersama 14 kanak-kanak dan bayi lain berusia antara enam bulan hingga 7 tahun.
"Pusat jagaan itu mula beroperasi hujung tahun 2019," tambahnya.
Nanda berkata, mayat bayi berkenaan dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar di sini untuk tindakan lanjut.
"Punca kematiannya masih belum diketahui. Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001," jelasnya.