TELUK INTAN - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak meluluskan bantuan bulanan RM500 bermula Mac depan kepada keluarga Diwiyana Mohammed, 37, yang video kesusahan hidupnya tular di media sosial.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, bantuan berkenaan diberikan di bawah kategori pesakit terlantar, Selamah Hamid, 73, iaitu ibu Diwiyana yang mengalami lumpuh sejak enam tahun lalu.
"Hasil lawatan yang diadakan pagi tadi (Rabu), JKM bersetuju untuk meluluskan bantuan pesakit terlantar sebanyak RM500 bermula bulan hadapan.
"Diharap bantuan ini dapat meringankan beban keluarga Diwiyana yang menjaga ibunya yang merupakan pesakit terlantar dan tidak boleh bergerak," katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan ke rumah keluarga terbabit di Parit 1A, Sungai Manik di sini pada Rabu.
Beliau menjelaskan, permohonan keluarga berkenaan bagi bantuan pesakit terlantar itu telah diterima JKM pada Januari tahun lalu.
Bagaimanapun katanya, permohonan berkenaan tidak dapat diproses kerana dalam sistem e-bantuan mendapati wanita warga emas itu masih menjadi klien JKM Wilayah Persekutuan.
"Semakan mendapati, pesakit itu menerima bantuan bulanan JKM Wilayah Persekutuan bermula 2017 sebelum ditamatkan pada April 2020 kerana berpindah ke sini (Teluk Intan).
"Apabila permohonan semula dikemukakan di Perak, kita dapati namanya sebagai penerima bantuan di sana masih belum dikeluarkan menyebabkan proses berkenaan tidak dapat dilakukan," katanya.
Wan Norashikin berkata, kerajaan negeri prihatin dengan kesusahan keluarga terbabit dan akan menyalurkan bantuan lain yang sewajarnya termasuklah Bantuan Peralatan Peniaga Kecil Wanita (BizNita) untuk membantu perniagaan burger diusahakan Diwiyana dan suami.
Jelas beliau, JKM dibantu Jabatan Pembangunan Wanita juga bersedia memberikan khidmat kaunseling kepada Diwiyana yang berdepan masalah tekanan dalam menjaga ibu sakit selain mencari rezeki untuk keluarga.
"Saya harap perkara sebegini tidak berulang lagi terutama melibatkan golongan kurang upaya, warga emas dan pesakit terlantar yang memang memerlukan bantuan bulanan," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Shahrul Azam Shaari berkata, permohonan bantuan bulanan daripada keluarga itu diterima pada 3 Februari lalu dan telah diproses.
Katanya, tindakan awalan bantuan segera telah disampaikan serta merta oleh Pegawai Baitulmal Daerah Hilir Perak kepada keluarga itu sebanyak RM300 pada 23 Februari lepas.
"Selanjutnya bantuan bulanan serta bantuan perubatan kepada ibu yang sakit terlantar akan diberikan setelah diluluskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Baitulmal Daerah Hilir Perak," katanya.
Klip video berdurasi tiga minit itu telah dimuat naik diaplikasi TikTok Dyana Mohammed mendakwa sudah dua tahun memperjuangkan bantuan untuk ibunya selain mempersoalkan berapa lama yang perlu ditunggu untuk mendapatkan bantuan.