SHAH ALAM - Masyarakat dinasihatkan supaya usah panik apabila berhadapan dengan ugutan yang lazimnya dilakukan oleh penjenayah ‘scammer’ terutamanya yang dibuat melalui panggilan telefon.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, orang ramai tidak perlu takut apabila berhadapan situasi sedemikian dan mereka sebaliknya perlu mengambil pendekatan dengan terlebih dahulu bertanyakan beberapa soalan penting kepada pemanggil yang disyaki 'scammer'.
Menurut beliau, masyarakat juga perlu sedar penjenayah ‘scammer’ juga berkemungkinan besar akan menggunakan butiran peribadi untuk tujuan menakut-nakutkan dan memperdaya mangsa.
"Bila terima telefon, jangan panik, tanya dulu mengenai identiti pemanggil, nama dia dan kenapa dia telefon. Kita juga perlu ambil sedikit masa dan beritahu pemanggil bahawa kita perlu periksa dengan polis atau pihak yang berkenaan.
"Kalau dia kata tidak perlu cek, ini maknanya orang itu dah ugut kita. Jangan takut. Selalunya dia akan sebut, ini betul ke no kad pengenalan kita, sebab kadang-kadang sindiket ini memiliki, butiran kita. Jadi kita jangan panik, itu yang mustahak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika panelis pada program Wacana Al-Quran bertajuk ‘Jenayah ‘Scammer’: Kenapa Masih Terperangkap?’ yang berlangsung di Kompleks Karangkraf pada Rabu.
Program yang diacarakan oleh Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail Qari itu turut disertai oleh Pegawai Hal Ehwal Islam Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Muhammad Fahmi Rusli sebagai panelis manakala Tirmizi Ali pula bertindak selaku Qari.
Mengulas lanjut, Shafien berkata, masyarakat disarankan supaya menyimpan maklumat penting di telefon bimbit masing-masing antaranya seperti talian pusat panggilan setempat 'CCID Scam Response Center'.
Katanya, orang ramai juga perlu mencatatkan nombor telefon serta akaun bank individu yang disyaki cuba untuk memperdaya mereka melalui panggilan telefon ataupun platform dalam talian.
Katanya, kedua maklumat tersebut akan membolehkan mereka untuk melakukan pemeriksaan melalui sistem yang dimiliki oleh polis.
Dalam pada itu, Shafien berkata, jenayah ‘scammer boleh berlaku dengan enam kaedah iaitu melalui e-dagang, pinjaman kewangan tidak wujud, Macau Scam atau penyamaran, tawaran pekerjaan sambilan dan ‘Love Scam’.
"Scammer ini boleh kenal pasti mangsa dia dan fokus mangsa pun bukan orang biasa. Orang mempunyai pendidikan tinggi dan golongan pakar pun kadang-kadang boleh terpengaruh dengan dakyah yang berlaku pada hari ini.
"Jadi saya menyeru kepada masyarakat supaya mengambil sedikit masa untuk menentukan panggilan atau e-mel yang diterima dan membuat semakan. Kita jangan mudah terpengaruh dan jangan mudah tergoda dengan maklumat yang dikhuatiri palsu dalam media sosial,” katanya.
Shafien turut menambah bahawa siasatan pihaknya terhadap kes yang berlaku mendapati kebanyakan mangsa terpedaya adalah individu hidup bersendirian dan tidak suka untuk bersosial.