SHAH ALAM - Pejabat Tanah dan Daerah Klang menyasarkan pengagihan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) dan Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada mangsa-mangsa terjejas banjir di daerah tersebut berakhir pada Jumaat ini.
Pegawai Daerah Klang, Mohd Faizal Abdul Raji berkata, sebanyak 70,983 permohonan bantuan banjir diterima oleh pihaknya setakat 31 Januari lalu, dan peruntukan sejumlah RM69.63 juta diagihkan kepada 32,557 penerima mewakili 46.8 peratus daripada jumlah pemohon.
Bagaimanapun, Mohd Faizal berkata pihaknya akan cuba menyelesaikan dan menyampaikan sebelum 28 Februari ini seperti yang diminta oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada awal Februari lalu.
"Pihak kami berjaya mengagihkan BSB dan BWI sebanyak 32 sesi melibatkan peruntukan sebanyak RM32,617,000 telah diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir di Klang.
"Sebelum 28 Februari ini, kita akan selesaikan mengikut jadual, kemungkinan kita boleh selesaikan lebih awal iaitu pada Jumaat ini.
"Jadi ada yang tidak dapat hadir, kita sampaikan (bantuan banjir) pada Sabtu, yang mana kita akan aturkan satu pemberian dan kita akan hubungi penerima tersebut untuk hadir ke Dewan Pejabat Tanah dan Daerah Klang.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Dewan Kemuning Utama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Seksyen 32 di sini pada Rabu.
Dalam pada itu Mohd Faizal berkata, sebuah kaunter aduan turut dibuka kepada mana-mana mangsa banjir di daerah Klang untuk melakukan sebarang semakan status permohonan bantuan atau pertanyaan tentang bantuan tersebut.
Ujarnya, sebanyak sekitar 200 aduan diterima oleh pihaknya berkaitan kekeliruan maklumat dalam laman sesawang Pejabat Tanah dan Daerah Klang dan lain-lain.
"Kita terima aduan ada yang tercicir, tapi masa pemberian borang itu, kita minta juga mereka ambil gambar borang permohonan berserta cop pengesahan tanda terima bantuan.
"Tapi ada juga kes yang mana mereka menghantar borang tersebut melalui kawan-kawan, orang tengah seperti ke pejabat lain atau jiran. Jadi jika ia tercicir, pihak kami tidak dapat pastikan sama ada mereka tercicir atau tidak kerana kita tidak mempunyai bukti itu.
"Jadi kita buka kaunter aduan dan terbuka kepada apa-apa aduan serta persoalan, yang mana kebanyakan mereka bertanya tentang status sama ada sudah diproses atau tidak," katanya.