'MB Johor tidak sepatutnya tergugat, PH beri jaminan awal kestabilan negeri'

Iklan
Asim Abdullah Ainullotfi FOTO - SINAR HARIAN / ASRIL ASWANDI SHUKOR.

SHAH ALAM - Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad seharusnya tidak merasa tergugat terhadap Pakatan Harapan (PH) yang jelas memberi jaminan awal dalam kestabilan kerajaan negeri.

Setiausaha Pemuda Amanah Nasional, Asim Abdullah Ainullotfi berkata, dalam Belanjawan 2022, PH juga dengan jelas tidak menolak bajet tersebut sekiranya beberapa tuntutan dipenuhi supaya adil kepada semua.

Iklan
Iklan

Tambahnya, fokus PH ketika ini adalah untuk mengurus isu pemulihan ekonomi dan menangani peningkatan kes Covid-19.

"Bila ada jaminan daripada kami, sepatutnya Menteri Besar Johor tidak sepatutnya tergugat dengan kestabilan politik.

Iklan

"Walaupun ada perbezaan satu kerusi sahaja, tiada unsur pembangkang ketika itu untuk tarik sesiapa daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mana-mana untuk membentuk kerajaan baharu.

"Fokus kita adalah mengurus isu pemulihan ekonomi, Covid-19 itu keutamaan. Bukannya bubar kerajaan negeri dan melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN),” katanya dalam program Kompas Rasuah Busters yang bertajuk PRN Johor Tanpa Rasuah, pada Rabu.

Iklan

Program tersebut dikendalikan Ismail Adnan sebagai moderator dan Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Johor Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Nornekman Osman juga sebagai panel.

Ismail Adnan (kiri), Nornekman (tengah), Asim (kanan) dalam program Kompas Rasuah Busters yang bertajuk PRN Johor Tanpa Rasuah pada Rabu FOTO - SINAR HARIAN / ASRIL ASWANDI SHUKOR.

Dalam pada itu, Asim berkata, gabungan parti politik (Politics of coalition) merupakan sesuatu yang penting bagi PH kerana tujuan utama adalah berdepan dengan musuh iaitu Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, untuk menggemblengkan tenaga rakyat pada PRN Johor mereka tidak boleh melihat hanya kepada kelompok sendiri sahaja.

"Kita perlu menggembleng seluruh tenaga daripada mereka yang mahukan perubahan tersebut.

"Itu yang diputuskan kenapa kita nak melaksanakan konsep khemah besar, dimana kita pelawa daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Pejuang mahupun Warisan, cuma soal mereka mahu terima atau tidak itu adalah hak parti masing-masing.

"Dan alhamdulillah baru-baru ini Muda juga terlibat mahu bekerjasama dengan PH untuk menumbang BN,” ujarnya.

Tambah Asim, untuk menjatuhkan musuh terbesar (BN), mereka perlu bekerjasama dan diimplementasikan bersama rakyat.

"Jadi prinsip ini berterusan dan kita terus pelawa sesiapa sahaja, bila kita bersama, kita perlu bersama berjanji, pull out syarat-syarat semua kepentingan daripada semua pihak kita jaga sama-sama.

"Tidak timbul isu nantikan kalau dah menang nak bentuk kerajaan nanti, ada pihak nak tarik diri sebagainya.

"tu adalah perkara yang tidak berprinsip dan itu tidak mahu berulang lagi seperti yang berlaku pada Langkah Sheraton yang akhirnya berpakat dengan musuh mereka sendiri iaitu BN dan Pas dan sebagainya,” jelasnya.

Sementara itu, Asim berkata, PH tidak ketandusan kepimpinan untuk dilantik sebagai Menteri Besar bagi negeri Johor kerana sebahagian daripada mereka pernah menjadi Exco Negeri dan Menteri dalam kerajaan.

"Perkara itu tidak menjadi satu tanda soal, mereka mempunyai pengalaman dan kelebihan.

"Walau bagaimanapun, keutamaan kita adalah untuk menang dulu di Johor, kita rangka strategi untuk rangkul seberapa ramai pengundi, pastikan anak muda, yang di luar negara balik dan sebagainya itu keutamaan.

"Kalau tidak menang bagaimana nak bercakap tentang Menteri Besar. Kita sasarkan kalau boleh untuk memenangi semua kerusi, buat yang terbaik, rangka strategi yang betul, tawaran yang betul dan bergerak secara sistematik dan strategik,” jelasnya.