"SCAMMER ini memang berani menyamar jadi kenalan saya sehingga sanggup bersumpah cara Islam bagi menyakinkan saya membantu membuat pindahan wang ke akaun lain," luah pekerja swasta yang hanya ingin dikenali sebagai Aisyah, 36.
Aisyah berkata, dia mengetahui kewujudan scammer seperti penjualan barangan tidak wujud, love scam atau tipu panggilan, namun tidak menyangkakan terdapat scammer yang menyamar sebagai rakan.
Menurutnya, sebagai seorang peniaga atas talian, dia pernah berdepan masalah membuat pindahan wang segera ke akaun pembekal dan memerlukan bantuan rakan lain.
"Pada 25 Januari lalu, kira-kira jam 2 petang, saya terima WhatsApp daripada nombor yang tidak dikenali. Dia menyamar jadi pemilik tudung yang saya jual. Perlu bantuan untuk pindahkan wang ke satu akaun pembekal sebanyak RM950.
"Mungkin ingin meyakinkan saya, dia menghantar pesanan Wallahi, Wabillahi dan Watallahi. Dia kata soal duit ni hak orang dan dia tak kan main-main," katanya.
Aisyah berkata, dia membuat pindahan wang sebanyak RM800 dan dua jam kemudian, scammer berkenaan meminta nombor akaunnya untuk membuat pembayaran semula.
Menurutnya, dia segera berkongsi nombor akaunnya dan tidak lama kemudian dia menerima resit menunjukkan pindahan wang sebanyak RM1,800 ke dalam akaunnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Lima modus operandi scammer popular!
ARTIKEL BERKAITAN: Mudahnya masuk perangkap scammer
ARTIKEL BERKAITAN: PPIM terima 15 aduan scam sebulan
ARTIKEL BERKAITAN: Tujuh faktor mudah jadi sasaran scammer
Katanya, scammer berkenaan kemudiannya memaksa saya memulangkan lebihan RM1,000 itu kerana tersilap melakukan pemindahan.
"Saya kata saya tak ada wang untuk pulangkan dan dia menyuruh saya meminjam dengan rakan-rakan. Bila tengok resit yang diberikan, memang saya tahu resit itu resit tipu. Saya hubungi scammer berkenaan, namun dia tidak angkat. Jadi saya segera hubungi bank dan membuat laporan polis.
"Alhamdulilah, ada rezeki saya dan saya dapat kembali wang yang saya pindahkan sebelum ini sebanyak RM800,” katanya.
Menurutnya, nombor yang digunakan scammer berkenaan masih aktif sehingga kini.
"Nombor saya dia dah sekat tapi bila cek di nombor lain, nombor berkenaan masih aktif," katanya.
Menurutnya, scammer berkenaan menyamar sebagai pemilik jenama tudung dan menyasarkan rakan pemilik tudung di laman sosial Facebook sebagai mangsa.
"Laman sosial Facebook kita memang terdedah kepada scammer dan kita mesti berhati-hati dengan individu seperti ini," katanya.