PASIR PUTEH - Kerja-kerja pendalaman muara lama Kuala Semerak di sini perlu disegerakan bagi menyelamatkan industri ternakan ikan kerapu hibrid di Laguna Semerak daripada terus berdepan lebih banyak kerugian.
Difahamkan, masalah itu menyebabkan 50 pengusaha ikan kerapu hibrid di kawasan berkenaan mengalami kerugian mencecah RM10 juta setahun selepas hasil tersebut tidak dapat dijual.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim berkata, langkah itu merupakan alternatif terbaik yang dapat mengubah kandungan pH air sekali gus menggalakkan lagi tumbesaran ikan menjadi lebih baik.
"Ia secara tidak langsung mampu menyelamatkan pengusaha ternakan ikan tersebut daripada terus berdepan kerugian.
"Muara kuala yang tertimbus itu menyebabkan kawasan tersebut menjadi 'mati' apabila air gagal mengalir dengan sempurna," katanya semasa turun padang meninjau keadaan muara lama Kuala Semerak di sini pada Rabu.
Beliau berkata, masalah itu menyebabkan berlakunya longgokan sisa makanan ikan yang dianggarkan setinggi satu meter di dasar sungai sehingga komposisi air bertukar kotor dan berlumpur.
"Tidak cukup dengan itu ternakan ikan turut berdepan ancaman penyakit atau bakteria apabila air dari Laguna Semerak gagal mengalir keluar terutama pada musim banjir.
"Muara yang tertimbus ini perlu segera digali bagi membolehkan air mengalir dengan sempurna sekali gus memberikan manfaat kepada tumbesaran ikan," katanya.
Menurutnya, kerja-kerja pengambilan tanah kira-kira 0.4 hektar tanah di kawasan tersebut telah dilakukan oleh Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh.
"Ia melibatkan perbelanjaan lebih RM800,000 bagi membolehkan penggalian semula kuala lama untuk pengaliran keluar masuk air dalam jarak yang dekat.
"Langkah yang amat diperlukan ialah menggali semula kuala lama yang tertimbus serta memerlukan peruntukan yang besar untuk menyelamatkan industri makanan daripada terus kerugian," katanya.