Tahap pencemaran Sungai Kelantan membimbangkan

Iklan
Beginilah keadaan Sungai Kelantan yang kini mengalami pencemaran yang teruk.

SHAH ALAM - Sungai Kelantan kini berada dalam keadaan yang sangat serius apabila dicemari oleh bahan toksik Polycyclic Aromatic Hydrocarbons (PAHs) yang terhasil daripada pembuangan minyak hitam kenderaan, sabun, syampu dan minyak gris.

Ahli Persatuan Saintis Muslim Malaysia (Perintis), Profesor Dr Mohamad Pauzi Zakaria berkata, dapatan kajian kimia alam sekitar yang telah dilakukan mendapati bahan kimia yang terdapat di bandar Kota Bharu telah mengalir masuk ke dalam sungai.

Iklan
Iklan

"Bahan ini akan terus berada di dasar air dalam jangka masa yang panjang. Ini terbukti daripada kajian radioisitop kami ke atas Selat Tebrau, yang mendapati PAHs sejak tiga abad masih ada di dasar terusan hingga sekarang.

"Air larian bandar atau 'urban runoff' yang mengalir terus ke dalam sungai tersebut menyebabkan sungai dan muara sungai tercemar dengan bahan toksik.

Iklan

"Sebagai contoh, kepekatan PAHs dari sampel sediment yang diambil di stesen paling hampir di bandar Kota Bharu melebihi 1000 ng/gram sedimen, yakni melebihi piawai yang telah digunapakai oleh kebanyakan negara di dunia termasuk di Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah akhbar yang mendakwa Sungai Kelantan tidak tercemar dan cuma kelihatan keruh.

Iklan

Mohamad Pauzi berkata, beliau dan sekumpulan pakar Forensik Alam Sekitar dari Universiti Putra Malaysia telah membuat kajian saintifik dan spesifik ke atas sungai itu mendapati bacaan pepejal terampai dan oksigen terlarut kurang dari 5.5 miligram per liter dan kekeruhan pada skala Secci Disk, 0.20 meter di ulu sungai dan 0.25 meter di muara sungai.

"Bacaan ini melebihi piawai yang telah ditetapkan. Sebagai perbandingan, sungai yang bersih dan bebas dari segala bentuk pencemaran mempunyai paras oksigen terlarut melebihi 10 miligram per liter.

"Salah satu punca kekurangan oksigen terlarut di dalam air sungai ialah akibat kekeruhan melampau yang mengakibatkan terbantutnya proses fotosintesis oleh tumbuhan akuatik.

"Kekurangan oksigen terlarut boleh mengakibatkan sungai menjadi septik atau mati dan boleh menyebabkan kematian ikan dan pelupusan hidupan akuatik yang lain," ujar beliau.

Jelas Mohamad Pauzi, kekurangan oksigen terlarut secara berterusan boleh mengakibatkan sungai berbau busuk hasil daripada pelepasan gas hidrogen sulfida dari dasar sungai yang telah menjadi anaerobik (tanpa oksigen).

"Dengan menggunakan kaedah cap jari dan petanda molikul, punca PAHs di perairan sungai paling hampir dengan bandar Kota Bharu berpunca dari pembuangan minyak hitam kenderaan dan minyak tumpahan dari garaj penyelenggaraan motosikal," jelas beliau.

Sementara itu, kesan sampingan kesihatan PAHs terhadap manusia telah banyak didokumenkan dalam kajian-kajian saintifik dan boleh mengganggu sistem hormon endokrin manusia termasuk mengakibatkan ikan dan hidupan air turut tercemar.

"Dengan lain perkataan, Sungai Kelantan adalah sebuah sungai yang telah dan sedang mengalami suasana pencemaran tahap serius. Tanpa pengawasan dan pemantauan pembuangan sisa pepejal, minyak hitam dari penyelenggaraan kenderaan serta pembalakan di ulu sungai, maka Sungai Kelantan akan terus tercemar dan akan menunggu retak menjadi belah," tegas beliau.