KUANTAN - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Pahang telah membuat pembayaran faedah berjumlah RM25.05 juta melibatkan 9,615 kes tuntutan diselesaikan pada tahun lalu.
Pengarahnya, Tarmizi Mukhtar berkata, daripada jumlah tersebut, tuntutan membabitkan kes jangkitan Covid-19 adalah paling tinggi iaitu sebanyak 4,446 kes yang berjumlah RM3.36 juta.
"Baki selebihnya berjumlah 5,139 kes pula berkaitan bayaran faedah seperti kemalangan, hilang upaya kekal dan penyakit kronik.
"Untuk skim insurans pekerjaan, sebanyak RM9.1 juta dibayar kepada 9,114 pekerja yang kehilangan pekerjaan tahun lalu," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Beliau menjelaskan, pekerja yang disahkan positif Covid-19 di tempat kerja atau Person Under Investigation (PUI) disebabkan oleh pekerjaan dan menjalani tempoh kuarantin boleh membuat permohonan tuntutan Faedah Hilang Upaya Sementara (HUS) melalui majikan.
Katanya, skuad prihatin ditubuhkan untuk menyiasat tuntutan di bawah skim berkenaan bagi mempercepatkan urusan bayaran kepada mereka yang terbabit.
Tarmizi menambah skuad itu akan menjalankan siasatan sebaik menerima aduan atau mendapat laporan menerusi media cetak, elektronik atau media sosial.
"Bila sudah memperolehi maklumat, kita akan mendapatkan nombor kad pengenalan bagi embuat semakan sama ada layak untuk menerima skim faedah Perkeso.
"Jika kita dapati seseorang itu layak, proses pembayaran akan terus dilakukan kepada mereka yang layak," katanya.