SHAH ALAM- [DIKEMAS KINI] Anak kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Nooryana Najwa Najib mengakui bahawa ada cuba memohon pekerjaan di Goldman Sachs sebelum ini.
Malah, dia juga sempat bertemu dengan profesional perbankan kanan seperti Roger Ng dan Tim Leissner untuk mengetahui lebih lanjut tentangnya dan sebagai sebahagian daripada usaha rangkaiannya untuk mendapatkan pekerjaan yang kompetitif.
Bagaimanapun, dia dimaklumkan ia mungkin menjadi konflik berkepentingan memandangkan bank pelaburan itu menjalankan perniagaan dengan kerajaan Malaysia.
"Ya, saya ada bertanya tentangnya dan diberitahu bahawa Goldman Sachs menjalankan perniagaan dengan kerajaan Malaysia dan ia boleh menjadi konflik kepentingan.
"Tim Leissner kemudiannya memperkenalkan saya kepada kumpulan pengumpulan dana di TPG iaitu sebuah firma ekuiti persendirian global. Mengumpul dana pelaburan daripada pelabur institusi strategik (terutamanya dana pencen dan dana kekayaan negara), yang mana ia bersesuaian dengan latar belakang saya. Saya kemudiannya ditemu duga untuk jawatan pelatih penganalisis di pejabat TPG London.
"Ya, saya seorang pelatih. Selain skop kerja teras saya juga bertanggungjawab untuk ‘spadework. Anda adalah gadis powerpoint, gadis fotostat, gadis kopi dan gadis penghantar,” katanya dalam coretan di Facebook pada Rabu.
Nooryana berkata, secara peribadi dia mempunyai minat yang mendalam dalam dasar kerajaan dan luar negara memandangkan memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Politik Antarabangsa dan Dasar Luar dari Universiti Georgetown, Washington DC).
Disebabkan itu, dia ingin mendapatkan pekerjaan berkaitan dengan dasar kewangan dan kerajaan.
Malah katanya, standard emas pada masa itu adalah bekerja di institusi kewangan perdana yang merupakan laluan kerjaya impian ramai rakan sebayanya.
Bagaimanapun, dia menegaskan TPG mengamalkan proses pematuhan yang ketat dan melakukan ketetapan dalaman memandangkan kedudukan bapanya dalam kerajaan.
"Saya tidak akan dibenarkan untuk mengambil bahagian atau bekerja dengan mana-mana akaun pelabur Malaysia.
"Selepas kira-kira 11 bulan sebagai pelatih, saya dinaikkan pangkat kepada penganalisis sepenuh masa berikutan semakan prestasi dalaman dan dipindahkan ke pejabat TPG Hong Kong di mana saya menghabiskan satu setengah tahun bekerja dalam usaha pengumpulan dana TPG Asia.
"Saya kemudiannya meninggalkan TPG pada Jun 2015 untuk menumpukan pada perniagaan saya dan permohonan sekolah siswazah,” ujarnya.
Pada Rabu, Najib menjelaskan tiada seorang pun daripada anaknya yang ditawarkan pekerjaan oleh Goldman Sachs, susulan kenyataan Leissner pada 22 Februari di Mahkamah Daerah Timur New York bahawa beliau diberitahu oleh Jho Low, Najib mahu tiga anaknya diberikan pekerjaan di Goldman Sachs.
Dia juga memaklumkan ada menerima CV Nooryana dan kemudian membantunya mendapatkan pekerjaan dengan TPG.
Leissner adalah saksi penting dalam perbicaraan terhadap pegawai bawahannya iaitu Roger Ng, yang dituduh melakukan pengubahan wang haram dan melanggar undang-undang berhubung dengan urusan 1MDB.