TAWAU - Seorang pengarah jabatan di sebuah kolej mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas 12 pertuduhan menyalahgunakan kedudukan.
Tertuduh, Saifulkahar Shariff, 54, yang juga Pengarah Pengajian Berterusan Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Awang Krisnada Awang Mahmud.
Menurut pertuduhan, tertuduh antara November 2017 hingga 7 Ogos 2018 bertempat di Pejabat KPTM Semporna sebagai pengarah kolej berkenaan telah menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi isteri dan anaknya dengan meluluskan Borang Permohonan Perolehan bagi pembelian tiket kapal terbang dari Tawau ke Kuala Lumpur.
Iklan
Iklan
Pembelian tiket itu adalah untuk anak dan isterinya dengan jumlah keseluruhan RM6,797.50 daripada sebuah agensi pelancongan yang mana mereka tidak layak untuk kemudahan itu.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama yang membawa kepada hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Mahkamah membenarkan jaminan kepada tertuduh sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin tempatan dan menetapkan 8 April depan sebagai tarikh sebutan untuk pengurusan kes.
Sementara itu, mahkamah juga menetapkan syarat supaya tertuduh melaporkan diri ke pejabat SPRM sebulan sekali selain diminta menyerahkan pasport kepada mahkamah serta dilarang untuk mendekati saksi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Izzati Sapifee manakala tertuduh diwakili peguamnya, Sitti Nurul Ain Sahidah Pitting.